#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

22 December 2014

Ketegasan SPAD zalim?



Baru-baru ini Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), melalui ahli jawatankuasanya Khadijah Aman mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta kerajaan telah membiarkan aktiviti pemandu bersama kenderaan UBER menjalankan operasi 'kereta sapu' sehingga mengakibatkan pendapatan ahli-ahli PERS1M tersekat.

Sampai tahap, membabitkan pihak SPRM supaya menyiasat SPAD kerana seperti sengaja membiarkan kenderaan UBER beroperasi dalam industri teksi Malaysia atas sebab kononnya UBER dilindungi oleh pihak-pihak tertentu dan berpengaruh.

Dalam pada masa yang sama, PERS1M turut menuduh pihak SPAD zalim apabila mengenakan tindakkan tegas dengan mengheret ahlinya iaitu empat pemandu teksi ke mahkamah atas kesalahan tidak mempunyai 'Kad Pemandu'.

Pada beberapa bulan lalu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membawa empat pemandu teksi ke mahkamah atas kesalahan melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam.

Keempat-empat pemandu teksi itu telah disabitkan oleh Mahkamah atas kesalahan tidak mempunyai Kad Pemandu.

Pada asalnya SPAD telah mengeluarkan kompaun paling minima terhadap mereka, iaitu RM500.

Tetapi setelah diberikan peringatan dan amaran yang sewajarnya, keempat-empat pemandu terbabit masih enggan membayar kompaun yang dikenakan.

Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar, sebagai Pengerusi SPAD berkata,"Bayangkanlah, pihak kita sudah beri tempoh antara 454 hingga 653 hari untuk menjelaskan kompaun, tapi empat pemandu teksi terbabit masih buat acuh tak acuh... Malah menuduh mereka dizalimi pula."

Tidak cukup dengan itu, badan yang mendakwa kononnya memperjuangkan pemandu teksi, iaitu Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), terus menerus menuduh dan mengeluarkan pelbagai dakwaan di dada-dada media.


Atas sebab isu yang berbangkit serta tuduhan PERS1M terhadap SPAD yang didakwa zalim dan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hal ini telah mendorong Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr, Syed Hamid Albar memberi penjelasan dengan mengeluarkan satu kenyataan media seperti berikut :


SIARAN MEDIA



PENCERAHAN MENGENAI ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN OLEH PERS1M KEPADA SPRM PADA 19 DISEMBER 2014

KUALA LUMPUR (20 Disember 2014)
– Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ingin memberikan pencerahan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan oleh PERS1M kepada SPRM pada 19 Disember 2014.

Antara isu yang telah dibangkitkan adalah mengenai hukuman penjara yang telah dikenakan terhadap pemandu teksi disebabkan ketiadaan kad pemandu yang sah dan mengenai pengunaan aplikasi UBER.

SPAD dengan ini mahu menjelaskan sungguhpun Kad Pemandu itu satu dokumen pengenalan yang ringkas, implikasinya besar terhadap keselamatan penumpang.

Ini ternyata dengan kaitan kes-kes jenayah yang melibatkan teksi, di mana pemandu teksi tidak dapat dikenalpasti kerana ketiadaan Kad Pemandu ketika penumpang menaiki kenderaan.

Di dalam kes yang melibatkan empat (4) pemandu teksi yang telah disabitkan oleh Mahkamah atas kesalahan tidak mempunyai Kad Pemandu, SPAD telah mengeluarkan kompaun pada asalnya, dengan jumlah yang paling minima iaitu RM 500.00.

Setelah diberikan peringatan dan amaran yang sewajar, mereka didapati masih enggan membayar kompaun-kompaun tersebut.

Tempoh purata yang diberikan bagi menjelaskan kompaun, di dalam kes empat pemandu tersebut adalah antara 454 hingga 653 hari.

Disebabkan kelewatan menjelaskan kompaun, dan atas prosedur yang seterusnya kes-kes tersebut telah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan sejurus itu mereka telah didakwa di Mahkamah.

Dua (2) daripada pemandu teksi tersebut dikenakan denda dan penjara selama sehari. Dua (2) lagi pemandu diarah membayar denda atau masing-masing dikenakan hukuman penjara selama dua (2) dan tiga (3) bulan.

Mereka memilih untuk membayar denda yang dikenakan di bawah bidangkuasa Mahkamah.

Adalah tidak wajar untuk menyatakan bahawa pihak Suruhanjaya telah bertindak zalim kerana masa dan peluang yang secukupnya telah diberikan kepada pemandu-pemandu terbabit untuk mematuhi undang-undang.

Hukuman dan denda yang dikenakan adalah mengikut peruntukan undang-undang dan kebijaksanaan Mahkamah.

Operasi dan tindakan berterusan dilakukan bagi melindungi imej pemandu teksi yang berhemah dan mematuhi undang-undang.

SPAD mahu memperbaiki reputasi industri teksi negara yang telah tergugat akibat tindakan segelintir pemandu teksi; ibaratkan ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.’

Suruhanjaya mengalu-alukan sokongan semua pemandu teksi untuk bekerjasama di dalam menaikkan mutu perkhidmatan dan martabat industri teksi negara.

Berkaitan dengan isu UBER yang dibangkitkan pula, SPAD dan JPJ membuat tindakan berterusan di bawah kesalahan perkhidmatan tanpa permit di bawah Seksyen 23 dan 64 Akta Pengangkutan Jalan, 1987 dan Seksyen 16, 36, 41 dan 80 dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010.

Pada September 2014, SPAD telah mengenalpasti lapan (8) syarikat yang menggunakan aplikasi UBER dengan pembabitan sejumlah 50 buah kenderaan, di mana 20 buah daripadanya tidak mempunyai permit yang sesuai.

Disebabkan UBER adalah aplikasi baru di Malaysia, SPAD merasakan perlu dibuat penerangan kepada syarikat terbabit mengenai keperluan undang-undang dan syarat-syarat pengendali.

Suruhanjaya telah memberikan peringatan agar pemandu berlesen PSV, insurans dan kenderaan berdaftar yang sesuai sahaja boleh digunakan oleh UBER.

Pada Oktober 2014, SPAD telah meneruskan operasi terhadap kenderaan UBER.

Sehingga kini 13 kesalahan membabitkan Uber telah disiasat dan diambil tindakan dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010.

Ini melibatkan enam (6) kes gagal kemukakan Lesen Pengendali, enam (6) kes beroperasi tidak mengikut kelas lesen dan satu perkhidmatan tanpa permit.

Di dalam siasatan terdapat beberapa lagi kenderaan yang dikesan beroperasi tanpa permit. Operasi juga tidak terhad di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Kelang sahaja.

Di sini Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa sungguhpun aplikasi UBER itu tidak menyalahi undang-undang secara kasarnya, penggunaan kenderaan berlesen yang sesuai diperlukan dan syarat-syarat pengendali perlu dipatuhi.

SPAD tidak akan berkompromi apabila melakukan tindakan ke atas kenderaan yang menggunakan UBER yang tidak mematuhi undang-undang dan syarat-syarat dan terma pelesenan pengendali.




0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.