Ini berikutan dakwaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua kononnya hanya nama Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dipersembahkan sebagai calon Menteri Besar kepada Sultan Selangor, yang kemudian dinafikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Presiden Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, pembangkang semakin terdesak sehingga sanggup 'berbohong' demi memastikan agenda untuk melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor sepertimana yang dihajati oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tercapai.
Menurutnya, dakwaan PKR dan DAP kononnya hanya mencalonkan satu nama untuk mengisi jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum lalu adalah tidak benar kerana ketiga-tiga parti telah mencalonkan sekurang-kurangnya dua nama sebagai calon.
"Sama ada Saifuddin dan Tony Pua berbohong atau berpura-pura tidak tahu fakta sebenar. Ketika tahun 2008, ketiga-tiga parti telah mengemukakan nama calon masing-masing termasuk DAP bagi jawatan Menteri Besar. Namun akhirnya Abdul Khalid dipilih. Jangan bohong dengan menggunakan alasan konvensi pakatan pembangkang.
"Pada tahun 2008, saya belum lagi keluar daripada PKR. Saya juga tahu apa yang terjadi dalam pakatan pembangkang. Memang ada beberapa nama lain selain Abdul Khalid," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, PKR dan DAP mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan akan hanya mempersembahkan nama Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar kepada Sultan Selangor.
Dalam kenyataan itu, pencalonan Wan Azizah itu selaras dengan konvensi pakatan pembangkang pada tahun 2013 yang mengemukakan hanya satu nama untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Namun demikian, Abdul Khalid menafikan kenyataan itu dan mendakwa kedua-dua parti itu tidak hanya mencalonkan nama beliau sebaliknya terdapat nama lain untuk mengisi jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum lalu.
Lum Yong yang juga merupakan bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah, DAP seolah-olah sudah tiada prinsip ketika ini apabila terpaksa mengikut sahaja kehendak dan telunjuk Anwar kerana tidak mahu kehilangan undi masyarakat Melayu pada pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Presiden Power Malaysia, M. Mohana berkata, pembangkang ketika ini sedaya upaya mahu mengaburi dan meracuni fikiran rakyat agar terus terpengaruh dengan pembohongan mereka.
"Pembangkang sudah 'gelabah' kerana sokongan masyarakat semakin berkurangan kepada mereka. Rakyat rata-rata menjadi marah dan kecewa dengan politik dalaman pembangkang sehingga mengabaikan kebajikan rakyat. Tidak usahlah terus berbohong dan memperbodohkan rakyat. Cukuplah, cukuplah.
"Saya minta Anwar beri 10 sebab mengapa memilih isterinya dan menafikan hak wakil rakyat lain yang lebih berkelayakan menyandang jawatan Menteri Besar di Selangor? Adakah kerana Wan Azizah adalah isterinya?
"Adakah Anwar mempunyai agenda tertentu bagi memastikan kepentingan politiknya terjaga. Bagaimana pula dengan kepentingan serta nasib rakyat yang mempercayai beliau selama ini. Saya minta Anwar bersara sahaja daripada politik sepertimana yang dijanjikan olehnya sebelum ini," tegasnya.- SUMBER