#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

26 December 2012

Hadi Awang salah? Tanggung laaa!!!

PENDEDAHAN oleh Zainon Ismail @ Cikgu Non, atau lebih dikenali sebagai C.N Al Afghani di dalam buku terbarunya Kafirkah Aku? mencetuskan kembali isu Amanat Hadi Awang 1981.

Desakan C.N Al-Afghan supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanat itu dan meminta maaf menarik perhatian ramai.

C.N Al-Afghani bukan calang-calang orang. Dia adalah ahli Pas seumur hidup. Dia ahli tegar Pas. Dia pernah berjuang dalam peperangan Afghanistan menentang Rusia, dan dalam konflik Kashmir. Dia seorang mujahidin. Dia pernah ditahan di bawah ISA.

Sekembali daripada jihad Afghanistan dan Kashmir, Cikgu Non mengambil tanggungjawab membela dan menjaga kebajikan balu dan keluarga para syuhada Memali, malah beliau mengahwini salah seorang balu tersebut.

C.N Al Afghan dikenali sebagai seorang yang sangat tegas, istiqamah dan ikhlas!

Beliau mendesak Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi 1981!

? Saudara-saudara sekalian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

? Percayalah saudara-saudara sekalian.

? Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ?politik suku, agama suku?.

Inilah teks apa yang dikenali sebagai ?Amanat Hadi Awang 1981". Ia sebenarnya adalah sedutan daripada ucapan Presiden Pas itu di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Abdul Hadi, lahir pada 20 Oktober 1947 pada waktu itu baru berusia 34 tahun, selepas kembali daripada Universiti Al Azhar, Mesir (sebelum itu menuntut di Universiti Madinah).
? Amanat Hadi Awang 1981" ini telah dicetak dan disebarkan ke merata pelosok negara oleh Pas. Ia memberi kesan kepada para pengikut yang taksub. Sejak daripada itu, bermulalah episod UMNO dikafirkan! Ahli UMNO dikafirkan! Indoktrinasi yang menghalalkan penentangan terhadap UMNO sebagai jihad, dan mati menentang UMNO adalah syahid per se!

Sembahyang bermakmum dengan imam UMNO tidak sah, sehingga timbul masalah solat dua imam! Nikah oleh kadi UMNO tidak sah, sehingga timbul masalah perlunya bernikah semula! Sembelihan orang UMNO haram dimakan, hingga timbul masalah tidak mahu makan masakan orang UMNO! Kenduri orang UMNO haram dihadiri, sehingga berlaku peristiwa pulau-memulau! Jenazah orang UMNO haram disolatkan, sehingga ada imam Pas tidak mahu menyembahyangkan jenazah ahli UMNO! Bercerai suami isteri! Berpecah kaum keluarga! Berpisah anak beranak! Hancur rosak perpaduan kampung dan negara!

Kemuncak kepada kafir-mengkafir ini ialah peristiwa Memali di Baling Kedah pada 19 November 1985. Empat tahun setelah Amanat Hadi Awang 1981 bertebaran dan bersemadi di lubuk pemikiran ahli Pas, Kampung Memali digemparkan dengan peristiwa berdarah pada pagi yang hitam itu.

Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud @ Ustaz Ibrahim Libya, bekas pegawai dakwah Pusat Islam sanggup meninggalkan kerjanya; gaji ribuan dibuang; bilik kerja air-cond ditinggalkan! Ustaz Ibrahim Libya pulang ke kampungnya di Memali dengan harapan dan perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Islam yang melaksanakan undang-undang Islam, Amanat Hadi Awang jelas terpampang di dinding pusat kegiatan Kampung Memali.

Dalam peristiwa berdarah 18 November 1985, empat anggota polis Melayu-Islam dibunuh. Pasukan keselamatan mengambil tindak-balas yang berakhir dengan Ustaz Ibrahim Libya terkorban bersama 13 lagi pengikutnya.

Sepantas kilat Ibrahim Libya dan pengikutnya yang terkorban diisytiharkan mati syahid oleh Pas. Jenazah mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan. Sebaliknya jenazah mereka terus disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Panjang dalam keadaan berlumuran darah!

Apakah yang mendorong Ibrahim Libya mengambil tindakan nekad bertempur dengan pihak polis! dan membunuh empat anggota polis. Anggota polis yang Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat dan Satu Akidah dengan mereka!

Adakah Ibrahim Libya dan pengikutnya terpengaruh dengan Amanat Hadi Awang 1981, yang menghalalkan jihad terhadap UMNO? Adakah Ibrahim Libya dan pengikutnya beranggapan polis yang dibunuh adalah polis UMNO maka halal dibunuh? Adakah Ibrahim Libya dan pengikutnya merasakan bahawa kematian akibat bertempur dengan polis itu adalah mati syahid? Ini semua adalah persoalan yang hanya Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya yang terkorban sahaja boleh menjawab.

Tetapi yang pastinya, dalam bumi Malaysia negara umat Melayu-Islam ini, ada 14 jenazah umat Melayu-Islam yang tidak dimandikan, tidak dikafankan kerana dikatakan syahid! Adakah umat Melayu-Islam gagal melaksanakan fardhu kifayah? Siapa yang wajar menanggung semua ini di hadapan Allah nanti?

Persoalannya, apakah yang mendorong Abdul Hadi membuat Amanat 1981 tersebut?

Saya yakin Abdul Hadi berpaksikan kenyataan itu kepada kepercayaan kononnya Perlembagaan Malaysia, undang-undang dan peraturan yang diamalkan di negara ini adalah Perlembagaan, undang-undang dan peraturan jahiliah, penjajah dan kafir!

Kerana apa? Kerana kononnya tidak meletakkan al-Quran dan sunah sebagai sumber utama undang-undang. Kerana kononnya ia Perlembagaan, undang-undang dan peraturan yang menolak al-Quran dan hadis! Dan yang paling utama, kerana perundangan jinayat hudud, qisas dan takzir tidak dilaksanakan!

Maka timbullah dakyah dan tohmah konon Malaysia bukan Negara Islam! Malah ditakfirkan Malaysia dan Kerajaan BN pimpinan UMNO. Inilah yang sering dijaja oleh para penceramah, ustaz-ustaz, dan ahli-ahli tegar Pas!

Persoalannya, betulkah dakwaan itu? Betulkah Perlembagaan Malaysia Perlembagaan kafir? Benarkah tidak melaksanakan hudud, qisas dan takzir itu membawa kepada kekafiran? Adakah benar Perlembagaan Persekutuan tidak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam?

Kita tidak perlu pergi jauh. Kita tengok kembali ucapan Abdul Hadi sendiri pada 18 Januari 2003 dalam satu ucapan yang dipanggil Amanat Perdana Pemangku Presiden bertajuk ?Pilihan Raya ke-11: Formula Kemenangan.?

Ucapan sepanjang 13 muka surat itu dibuat sewaktu beliau memangku jawatan Presiden Pas selepas kematian Allahyarham Datuk Fadhil Noor pada 23 Jun 2002 akibat sakit jantung.

Pada waktu itu, Abdul Hadi juga adalah Menteri Besar Terengganu selepas Pas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-10. Pas memenangi DUN Terengganu dalam pilihan raya itu selepas persekongkolan dengan DAP dan Anwar Ibrahim yang baru dipecat daripada UMNO. Tetapi persekongkolan itu menghadapi masalah besar terutama dengan DAP.

Dalam menuju PRU-11 (2004 apabila Kerajaan Pas Terengganu tumbang), Pas mencari formula untuk mengekalkan kemenangan dan meluaskan kejayaan pilihan raya.

Maka Pas membuat perkiraan politik bahawa kerjasama dengan DAP adalah wajib; persekongkolan dengan Anwar adalah perlu. Maka demi mencapai formula kemenangan itu, Abdul Hadi berkata di muka surat 10; ?Justeru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif (DAP-PKR-Pas) dahulu, maka Pas perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan hudud di peringkat persekutuan. Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini. Seandai menang dalam pilihan raya akan datang, pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat Pusat, yang akan mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!"

Cuba teliti betul-betul petikan ucapan Amanat Hadi Awang 2003 ini dengan Amanat Hadi Awang 1981. Nampak perbezaan fundamentalnya?

Kedua-duanya menyentuh tentang satu perkara: status Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Amanat Hadi Awang 1981, Perlembagaan Persekutuan (berserta undang-undangnya) dilabel sebagai ?kafir, jahiliyah, berbaur penjajah", yang oleh kerana label itu UMNO dikafirkan!

Dalam Amanat Hadi Awang 2003, disebut jelas ?peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan di peringkat Persekutuan"!

Kedua-duanya mengupas perkara yang sama tetapi bercanggah satu sama lain! Adakah kekafiran itu sudah boomerang?

Atas alasan ini sahaja pun sudah cukup untuk Abdul Hadi wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981, kerana ternyata beliau sendiri sekarang menyanggah dan membatalkan Amanat Hadi Awang 1981 itu melalui Amanat Hadi Awang 2003!

Kedua, adakah tidak melaksanakan hudud, qisas dan takzir itu membawa kepada kekufuran? Adakah tidak mendirikan Negara Islam itu membawa kepada kekafiran?

Kita tidak perlu pergi jauh. Abdul Hadi sendiri pada 20 Disember 2009 menandatangani Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang di Shah Alam Convention Center. Bersama dengan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, Memorandum Persefahaman itu langsung tidak menyentuh tentang perlaksanaan hudud dan penubuhan sebuah Negara Islam.

Ini kemudiannya diikuti dengan penerbitan Buku Jingga, dan diperkuatkan dengan pelancaran manifesto Pakatan Pembangkang pada 08.09.2011 yang jelas tidak memasukkan pelaksanaan hudud dan penubuhan Negara Islam sebagai agenda.

Malah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh tetap konsisten dengan kenyataan bahawa pelaksanaan hudud dan penubuhan sebuah Negara Islam langsung tidak termasuk dalam persefahaman pakatan pembangkang, dan tidak menjadi agenda mereka jika ditakdirkan (na?uzubillah) memenangi PRU-13 dan memerintah Malaysia (na?uzubillah minzalik).

Malah yang lebih jelas ialah kenyataan Abdul Hadi sendiri semasa Muktamar Tahunan Pas 2011 yang jelas menyatakan bahawa ?Pas mengubah dasar kepada negara kebajikan, itu ada dalam Quran. Negara Islam dia (al-Quran) tidak sebut"! Maknanya Negara Islam tidak ada dalam al-Quran. Negara Islam bukan lagi perjuangan Pas. Melaksanakan hudud tidak lagi menjadi agenda Pas bersama rakan sekongkolannya DAP-PKR! Perjuangan menubuhkan Negara Islam dilongkangkan!

Nah, tidakkah itu bercanggah sama sekali dengan Amanat Hadi Awang 1981! Adakah kekafiran itu sudah boomerang?

Yang jelasnya, dengan pendirian yang kini bercanggah dengan amanatnya sendiri, Hadi Awang wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981 itu!

Apa yang jelas, Amanat Hadi Awang 1981 adalah satu kesilapan besar! Kesilapan yang mencetuskan krisis akidah yang serius kepada umat Melayu-Islam, kesilapan yang menimbulkan perpecahan kepada perpaduan dan ukhuwah umat Melayu-Islam! Kesilapan yang menyebabkan ramai yang merana, sengsara dan menghadapi penderitaan. Kesilapan yang menyebabkan 14 jenazah tidak dimandikan dan dikafankan!

Sebelum meninggalkan kupasan persoalan ini, elok juga kalau ditanya soalan kepada Abdul Hadi:

1. Adakah kafir kerajaan Mesir (negara di mana Abdul Hadi mendapat pendidikan Islamnya) yang kini diperintah oleh Ikhwanul Muslimin dengan Presiden Mursi kerana masih mengekalkan undang-undang penjajah, dan tidak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud?
2. Adakah kafir kerajaan Indonesia, negara umat Islam terbesar di dunia, kerana masih mengekalkan undang-undang Belanda dan tidak menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud?

3. Adakah kafir Turki, negara umat Islam terbesar dalam Pakatan NATO yang kini diperintah oleh Parti AKP di bawah pimpinan Reccep Tayyib Erdogan yang masih mengekalkan status sekularnya dan tidak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud?

Adakah wajib memerangi orang Mesir, Turki dan Indonesia? Adakah jihad menentang mereka? Adakah syahid jika mati bertempur dengan mereka? Adakah mereka musuh Islam yang wajib ditentang?

Jawapannya kita semua tahu, TIDAK! Mesir negara Islam! Indonesia negara Islam! Turki negara Islam!

Kalau Mesir, Indonesia, Turki dan negara seumpamanya Islam; mengapa Malaysia ditohmah tidak Islam, malah dikafirkan?

Kalau Mesir, Indonesia, Turki dan kerajaan seumpamanya tidak kafir, mengapa Kerajaan Malaysia dikafirkan?

Kalau Mesir, Indonesi, Turki dan wilayah seumpamanya tidak wajib diperangi dan ditentang, mengapa harus pula menentang, malah berjihad terhadap Kerajaan Malaysia?

Tepok dada tanyalah iman masing-masing!

Sebab itu saya menegaskan bahawa Abdul Hadi Awang wajib melakukan 4 perkara berikut:

1. Wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981! Beliau wajib membuat pengumuman itu bukan sahaja secara terbuka kepada semua ahli dan penyokong Pas, malah beliau wajib membuat pengumuman itu kepada seluruh umat Melayu-Islam dan rakyat Malaysia!

2. Abdul Hadi wajib bertaubat; kerana Amanat Hadi Awang 1981 telah menyebabkan krisis akidah dan perpecahan umat Melayu-Islam yang serius! Ramai yang telah terpesong akibatnya. Abdul Hadi wajib menyesali, memohon keampunan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu!

3. Abdul Hadi wajib meminta maaf kepada seluruh ahli dan penyokong taksub Pas, seluruh umat Melayu-Islam dan rakyat Malaysia. Khususnya beliau wajib meminta maaf kepada keluarga dan waris yang telah terkorban, suami isteri yang telah bercerai-berai, anak yang berpisah daripada keluarga, adik beradik yang bermusuhan, penduduk kampung yang berpecah, para imam yang diaibkan dan dimalukan; pendek kata sesiapa juga yang pernah menjadi korban dan mangsa akibat Amanat Hadi Awang 1981!

4. Setelah itu, Abdul Hadi wajib mengadakan roadshow dan ceramah besar-besaran untuk memperbetulkan semula kesan negatif yang telah berlaku akibat Amanat Hadi Awang 1981. Beliau wajib memperbetulkan semula mentaliti ahli dan penyokong tegar Pas yang rosak akibat amanat itu

Sumber: @ Utusan 

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.