Pembentangan kertaskerja sekitar Seminar Nusantara pada 18 – 20 Januari lalu wajar diambil sebagai panduan bagi seluruh umat Islam, khasnya di Malaysia dalam mengatur langkah mengharungi cabaran dan halangan dalam berbagai bentuk dan arah.
Dalam konteks Malaysia, yang mana umat Islam masih tercari-cari identiti dan arah tuju, pembentang dari Indonesia oleh YBhg. Prof. Dr. Hj Ali Mustafa Yakub yang membawa tajuk ‘Pemurnian Pemikiran dan Pembangunan Umat Islam Indonesia’ cukup menarik untuk dijadikan rujukan. Mengupas sejarah Islam di Indonesia, beliau menyimpulkan bahawa Islam itu tidak khusus kepada bangsa atau budaya Arab serta tidak tertakluk kepada imej tetap. Contohnya, pakaian jubah, serban ala Arab atau bentuk kubah bukanlah simbol atau tanda Islam, ia hanyalah bersumberkan inspirasi dan imaginasi manusia yang dipengaruhi budaya yang juga dipengaruhi oleh iklim persekitaran si-perekanya.
Meletakkan satu ‘imej’ khas terhadap Islam boleh menimbulkan permasalahan di mana umat Islam cenderung untuk membuat penilaian sendiri apa yang Islam, apa yang tidak cukup Islam dan apa yang tidak Islam. Sedangkan, Islam itu telah ditegaskan sebagai sesuai dengan semua tempat dan zaman. Maka, apabila Islam mula sampai di Jawa, ia tidak pernah menukar budaya, imej, struktur dan arkitektur Jawa. Kerana itu, ia mudah diterima masyarakat Jawa tanpa banyak bicara kerana mereka tidak perlu membuat apa-apa perubahan drastik dari segi landskap kehidupan mereka, selain dari berusaha menjadi manusia yang lebih baik dan memperbaiki hubungan sesama manusia, di samping melakukan ibadah dan meninggalkan yang mungkar.
Pendek kata, ia lebih merupakan perubahan dari segi kerohanian, menyucikan hati serta belajar mengenalpasti batasan-batasan dan peraturan bagi membentuk masyarakat yang lebih maju dan bertamadun.
Mengambil pengajaran dari kertaskerja ini, umat Islam di Malaysia wajar mengakui betapa kita telah keterlaluan dalam melebihkan ‘imej’ berbanding perkara pokok dalam Islam. Akibatnya, wujudlah masyarakat Islam yang gemar menilai sesama sendiri sehingga membawa kepada perpecahan. Dari situ timbullah sikap suka mendewa-dewakan seseorang berdasarkan ‘imej’ sehinggakan begitu mudah sekali seseorang itu dinobatkan sebagai ulama, iaitu dengan hanya menepati menonjolkan ‘imej’ Islam mengikut purata piawaian pendapat masyarakat.
Masalah ini dikupas dengan jelas oleh pembentang dari Malaysia iaitu Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba, Pensyarah UIA dalam kertaskerja yang bertajuk ‘Islam di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan’. Menurut Prof. Sidek umat Islam di Malaysia kini diancam pemikiran cetek dan remeh akibat meletakkan ‘imej’ sebagai mengatasi ‘ilmu’. Hari ini, konsep ‘dakwah’ di Malaysia adalah dalam bentuk sindiran atau ‘bidas’, kalaupun tidak mengutuk mereka-mereka yang ‘berdosa’ di mata para pendakwah. Akibatnya, wujudlah masyarakat yang prejudis, yang memandang serong sesama sendiri, biadap dan tidak bersatu padu sedangkan pendakwah sebenar seharusnya membawa semangat kasih sayang, hormat menghormati, perpaduan serta melarang keras sikap suka menghukum atau menilai sesama manusia.
Konsep ini diterangkan dengan jelas oleh Ustaz Kamal Saidin dalam sessi berasingan tetapi turut merupakan kesinambungan dari seminar ini. Menurut Ustaz Kamal, dalam bahasa mudahnya, “ulama-ulama ini suka mengambil-alih kerja Allah SWT (menghukum) tetapi tidak menjalankan kerja yang diamanahkan kepadanya.”
Kerana ulama atau pendakwah beginilah maka masyarakat Islam hari ini meletakkan sepenuh tumpuan pada imej kerana bimbang disindir atau dibidas oleh orang lain sedangkan asas Islam di dalam diri sendiri masih lagi terlalu lemah. Semuanya sibuk ‘menyempurnakan’ imej, lalu meremehkan tugas untuk ‘melengkapkan’ ilmu dan kadangkalanya, amalan juga.
Keadaan inilah yang memudahkan sebahagian dari kita begitu mudah untuk tergelincir akidah atau tersesat yakni, terlalu mudah diperdaya atau ditarik keluar terus dari Islam walaupun pada dasarnya penampilan mereka ini menepati imej Islam menurut pendapat masyarakat. Tidak kurang juga yang memberontak tanpa sedar akibat sering dicemuh, diejek dan diperlekehkan semata-mata kerana penampilannya tidak menepati piawaian yang dikehendaki oleh masyarakat sehingga akhirnya menimbulkan benci serta mempersoalkan kemurnian Islam.
Masalah Ulama tidak membuat kerja mereka yang sepatutnya tetapi sibuk membuat kerja Allah SWT ini menyebabkan seruan Islam tidak sampai kepada mereka yang sepatutnya. Sedang para Ulama sibuk ‘mengIslamkan’ negara, undang-undang dan orang yang telah sedia Islam atau mengkafir dan memurtadkan sesama Islam, mereka telah terlepas pandang akan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak serta orang Asli di sekitar semenanjung yang belum menerima seruan.
Antara yang didedahkan di dalam perbincangan lanjutan dari seminar tersebut juga ialah mengenai kisah-kisah kaum bumiputera yang ingin benar mengetahui tentang Islam tetapi terlebih dahulu didekati oleh puak Kristian. Walaupun begitu, mereka tidak pernah memadamkan keinginan untuk mempelajari Islam dan sering menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan maklumat tentang Islam di mana saja ada kesempatan seperti ceramah di sekolah dan sebagainya. Di masa yang sama usaha puak Kristian untuk mendekati mereka sentiasa ditingkatkan tetapi tiada usaha langsung dari pihak ulama Islam untuk berbuat yang sama.
Apabila memikirkan bagaimana di kalangan masyarakat Islam memakai ‘imej’ Islam dan sudah mempelajari Islam sejak kecil juga masih boleh disesatkan oleh Ulama palsu atau dimurtadkan oleh pendakwah agama lain, maka apatah lagi mereka ini yang tiada asas mengenai Islam. Walaupun mereka memendam minat kepada Islam, mereka-mereka ini tentu saja mudah dikelirukan dengan Kalimah Allah di dalam kitab agama lain.
Justeru, apa yang dapat disimpulkan dari Seminar Nusantara ini ialah masalah yang melanda Umat Islam hari ini telah berakar umbi dan bercabang-cabang. Namun, sehingga kini, walaupun para pembentang dapat mengupas dan mencari puncanya, penyelesaiannya masih terlalu jauh. Jalannya juga masih terlalu kabur.
Dari situ, saranan Tuan Haji Zakariyya Adam, Ahli Parlimen Kemboja dan juga pembentang kertaskerja bertajuk “Pembangunan Sosioekonomi Muslim Kemboja” agar diwujudkan satu Pusat Rujukan Islam Tertinggi bagi rantau ASEAN yang merangkumi Ulama-ulama serantau untuk menangani kesemua masalah ini secara bersepadu dan tersusun.
Kesimpulannya, Seminar Nusantara telah berjaya dilaksanakan, tetapi ia tidak akan mengubah apa-apa tanpa tindakan susulan yang tegas dan pantas.
Seterusnya, saksikan wawancara YB Datuk Ahmad Maslan bersama media selepas beliau menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar Nusantara Islam Di Asia Tenggara yang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur minggu lalu.
0 comments:
Post a Comment