#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

19 July 2013

Pernahkah umat Islam ganggu hal agama lain?


ALHAMDULILLAH syukur kita ke hadrat Allah SWT, kini, minggu kedua kita berpuasa. Semoga ibadah kita bertambah baik dan diterima oleh-Nya. Dalam minggu pertama bulan Ramadan, umat Islam di Malaysia diuji dengan pelbagai perkara. Paling nyata, agama Islam dihina di laman-laman sosial. Apakah tujuan mereka ini menghina agama Islam, hanya mereka sahaja mengetahui helah sebenarnya.

Sejak akhir-akhir ini, ada sahaja perkara yang membabitkan sensitiviti agama Islam dibangkitkan dengan berani di laman-laman sosial. Adakah mereka ini tidak mengetahui apa yang disentuh itu amat sensitif bagi umat Islam Malaysia?

Atau mereka ini cuba menguji kesabaran umat Islam sama ada terdapat tindak balas terhadap mereka. Islam di Malaysia dianuti bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga bangsa-bangsa lain. Tetapi sememangnya majoriti umat Islam di Malaysia adalah orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu cukup menjaga agama mereka.

Cukup pantang bagi orang Melayu, agama mereka dihina. Bagi mereka hidup dan mati mereka adalah untuk agama Islam. Kalau tidak, mustahil berlakunya kacau bilau mengenai isu agama Islam bagi insan bernama Natrah sebelum merdeka lagi. Umat Islam ketika itu amat mempertahankan agama Islam.

Tidak cukup dengan itu, sepanjang negara kita dijajah, penjajah cuba menyebarkan agama lain kepada orang Melayu. Namun, keteguhan dan cintanya orang Melayu ke atas agama Islam tidak mampu diganggu-gugat. Setiap zaman ada cabarannya. Cabaran dahulu lebih dalam bentuk fizikal tetapi kini cabarannya secara halus dalam usaha untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Perang melalui internet merupakan usaha terbaru dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Terdapat pelbagai cara untuk 'menjajah' hati umat Islam. Penyebaran pelbagai fahaman dan ajaran sesat bersama-sama hadis yang tidak diketahui kesahihannya. Yang pasti musuh-musuh Islam tidak akan senang duduk selagi usaha menyebarkan agama lain kepada umat Islam tidak berjaya.

Mereka mengetahui betapa umat Islam Malaysia cukup sukar untuk disentuh dalam hal-hal agama. Musuh-musuh Islam juga cuba untuk melaga-lagakan umat Islam Malaysia dengan pelbagai cara. Setelah mereka berjaya melaga-lagakan umat Islam di Mesir dan Syria, Malaysia pula menjadi sasaran mereka.

Isu kalimah Allah tidak semena-mena dibangkitkan dalam bulan mulia ini. Sekali lagi apakah niat mereka? Pernahkah umat Islam di Malaysia mengganggu atau menyentuh hal-hal sensitif agama lain? Sepanjang pengetahuan penulis, tidak pernah sama sekali! Malahan, umat Islam Malaysia sentiasa menjaga sensitiviti agama lain. Inilah yang diajar oleh agama Islam.

Sikap bertolak ansur dan toleransi umat Islam seolah-olah tidak dihargai. Setiap kali agama Islam dihina, hanya ucapan mohon maaf diucapkan selepas itu. Adakah dengan permohonan maaf sahaja mampu mengubati hati yang terluka? Hati umat Islam bukan setakat terluka, bahkan lukanya amat dalam sekali.

Hakikatnya, umat Islam tidak mahu lagi isu yang menyentuh agama Islam diperkatakan lagi! Sukar sangatkah untuk kita memahami sensitiviti agama orang lain?

Umat Islam tidak mahu setakat amaran, amaran dan amaran apabila membabitkan agama Islam. Umat Islam Malaysia hanya mahukan tindakan, tindakan dan tindakan! Isu ini perlu ditangani dengan tindakan bukan setakat amaran sahaja.

Rata-rata yang berani menyentuh sensitiviti agama Islam adalah golongan muda. Tidakkah kita terfikir pemikiran bebas ala-Barat telah meracuni golongan muda ini. Mana ada dalam dunia ini, negara yang benar-benar bebas. Di Amerika Syarikat (AS) sendiri pun masih ada undang-undang ala-ISA tapi pada masa yang sama golongan liberal baru ini amat taksub dengan kebebasan ala-AS.

Penulis juga terfikir adakah kerana umat Islam Malaysia nampak tidak bersatu angkara politik telah menyebabkan mereka ini cuba mengambil kesempatan atas umat Islam Malaysia. Percayalah, apabila menyentuh hal ehwal agama Islam, umat Islam Malaysia kembali bertaut dan bersatu tidak kira apa pun ideologi politik!

Usah menghina agama Islam! Usah juga cuba untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam Malaysia!

Umat Islam akan kembali bersatu apabila agama suci Islam ditentang! Mungkin kerana orang Islam di Malaysia sejak dahulu lagi tidak menguasai ekonomi dan kini kuasa politik pun semakin berkurangan menyebabkan mereka seolah-olah nampak begitu lemah? Tidak! Itu andaian yang cukup salah.

Islam tetap akan dipertahankan sehingga titisan darah terakhir. Selagi nyawa dikandung badan, Islam tetap dipertahankan! Ketika agama Islam dihina dalam bulan Ramadan, seperti biasa umat Islam terpaksa pula menangung kos pembelian juadah berbuka puasa yang semakin tinggi. Contohnya harga ayam.

Cara sebegini sudah lama boleh dibaca tetapi mereka masih tidak menghiraukan keselesaan umat Islam. Adakah mereka ini peniaga yang baik? Mengambil kesempatan terhadap umat Islam di bulan Ramadan. Serangan tersurat dan tersirat inilah perlu membuka mata seluruh umat Islam di bulan Ramadan ini.

Usah lagi kita sibuk bercakaran hanya kerana politik! Usah lagi kita menegakkan fahaman liberal ala-Barat yang penuh songsang dan berkeceramuk. Usah juga kita menuding jari sesama Islam hanya semata-mata dahagakan undi. Usah juga kita menabur fitnah dan mengumpat sesama Islam!

Ramadan ini adalah bulan perpaduan dan perpaduan amat dituntut dalam Islam. Sama-samalah kita bersatu padu menegakkan agama suci Allah di bumi Malaysia! Demi Islam, agama yang sebenar-benarnya di sisi Allah SWT.

© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.