RM2.6 wang 1MDB?

17 Disember 2014

Grand Plaza Kensington London Kini Milik FELDA


FIC LAKSANA PEMBELIAN HARTANAH PERTAMA DI LONDON DALAM USAHA MEMPELBAGAIKAN ASET PELABURAN

Di dalam mempelbagaikan aset pelaburannya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), sebuah anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), telah mengorak langkah yang lebih kompetitif dengan mengambil alih sebuah hotel di Kensington, London.


Pembelian Grand Plaza Kensington merupakan pelaburan hartanah pertama bagi FIC dan yang kedua bagi FELDA.

Ia melakar sejarah yang tersendiri bagi FIC sebagai salah satu langkahnya untuk memperkukuhkan jenama FELDA di dalam industri perhotelan yang sebelum ini telahpun memiliki Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater pada tahun lalu.

Grand Plaza Kensington merupakan sebuah hotel bertaraf 4 bintang dengan 62 unit bilik dan 2 unit servis apartment, terletak di Lexham, sebuah daerah eksklusif di Kensington dan Chelsea.


Lokasi hotel ini juga terletak berhampiran kawasan membeli belah paling popular di Barat London iaitu Kensington High Street. Kedudukan strategik hotel ini dan populariti London sebagai salah satu destinasi percutian utama di dunia, terutamanya di kalangan rakyat Malaysia, merupakan antara faktor penting yang dapat menjadikan hotel ini sebagai pilihan utama di kalangan pengunjung kota London.

Berucap di majlis pembukaan hotel tersebut di London, Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Haji Mohd Isa Samad berkata, “Pembelian Grand Plaza Kensington merupakan sebahagian daripada perancangan strategik FIC dalam mempelbagaikan aset pelaburannya serta memastikan pulangan pelaburan yang maksima untuk manfaat semua pemegang saham.”

Beliau turut berkata bahawa hotel yang baru dimiliki FIC ini juga mampu menjadi aset pelengkap kepada hotel milik FELDA di Bayswater, satu lagi kawasan tumpuan rakyat Malaysia di London.


“Grand Plaza Serviced Apartments mensasarkan pengunjung yang bercuti bersama keluarga mahupun secara berkumpulan, manakala Grand Plaza Kensington lebih bertumpu kepada pengunjung yang inginkan penginapan mewah pada kadar yang berpatutan.

Selain itu, hospitaliti Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan kami yakin hotel ini dapat menarik pengunjung Malaysia dan juga pengunjung asing dengan penawaran perkhidmatan yang terbaik serta pilihan juadah Malaysia yang lazat.”

Isa turut menjelaskan bahawa dengan pembelian hotel Grand Plaza Kensington, jumlah keseluruhan hotel dan resort milik FELDA kini telah mencecah 12.


Majlis perasmian hotel tersebut telah disempurnakan oleh Isa dengan disaksikan oleh para jemputan khas antaranya Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Northern Ireland, Dato' Ahmad Rasidi Hazizi, Ahli-ahli Lembaga Pengarah FIC serta tokoh-tokoh korporat di London.

Turut hadir di majlis perasmian tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil. Mohd Zaid menerangkan bahawa pembelian hotel Grand Plaza Kensington di dorong oleh sambutan menggalakkan yang diterima oleh Grand Plaza Serviced Apartments dengan purata kadar penghunian sebanyak 90%, serta potensi tinggi yang dimiliki pelaburan tersebut.

“Malaysia kini merupakan antara pelabur paling aktif dalam pasaran hartanah di UK terutamanya di London. Organisasi-organisasi utama seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji dan PNB telah pun memiliki beberapa hartanah di UK.

FIC kini juga telah mengambil pendekatan yang sama dan turut mengorak langkah dalam pasaran hartanah ini.”

Mohd Zaid turut berkata beliau yakin bahawa pelaburan dalam sektor hospitaliti khususnya di UK mampu memberikan pulangan jangka panjang yang mampan, selaras dengan peningkatan jumlah pengunjung antarabangsa ke UK yang telah mencapai kadar tertinggi pada 2013 iaitu 32.8 juta pengunjung.

Ia turut di dorong oleh kadar pertumbuhan sebanyak 8.6% bagi London, sekaligus menjadikannya Bandar paling kerap dikunjungi di dunia.

Walaupun FIC merupakan syarikat yang baru ditubuhkan, ia sudah bergiat aktif dalam beberapa pelaburan strategik termasuk pengambilalihan syarikat pembangunan hartanah, Encorp Berhad, baru-baru ini.

Pengambilalihan syarikat ini jelas menggambarkan hasrat FELDA untuk mempelbagaikan perniagaannya dengan lebih meluas terutamanya dalam bidang pembangunan hartanah dan pembinaan, selain menjadi antara organisasi terkemuka dalam sektor hospitaliti.


Reaksi:

0 ulasan:

Catat Ulasan

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.