#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

9 May 2014

UMNO: Tekadlah membantu umat Me­layu!



SETAHUN lalu tsunami politik membadai dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pakatan pembangkangnya cuba mengambil kesempatan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penyele­wengan dan demonstrasi seluruh negara terjadi. Akhirnya strategi Anwar kantoi apabila dia gagal membuktikan pengundi Bangladesh mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sekarang ini pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku pergolakan dan ketidaktelusan sehingga 17 daripadanya diminta bermesyuarat semula. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.


UMNO masih terus berkuasa walaupun Anwar mendakwa undi popular memihak kepadanya. Macam Anwar tidak tahu sejak terlibat dalam politik, undi popular tidak berbangkit. Kemenangan diukur berasaskan kerusi majoriti.

Anwar dan pembangkang cuba menimbulkan kebencian menggunakan slogan ABU (asal bukan UMNO). Apa saja peristiwa yang berlaku di Malaysia dikaitkan dengan UMNO sehingga kehilangan MH370 pun dikaitkan dengan UMNO.

Menyemai sikap membenci ini akhirnya memakan diri. Sekarang ini orang PKR sendiri membuat sindiran tentang politik kroni berasaskan keluarga dan terhubung dengan pengaruh Istana Bukit Segambut.

Peranan Anwar sebagai pemersatu dalam politik PKR ternyata semakin lemah. Strategi reformasi 2 kurang mendapat sambutan. Demonstrasi GST di Dataran Merdeka diambil kesempatan oleh Anwar untuk membuat kenyataan tempoh tahanan beliau akan dina­ikkan sehingga 10 tahun.

Anwar menghina mahkamah dan hakim-hakim semahu-mahunya tetapi contempt of court tidak terjadi. Perbicaraan terhadap dirinya dianggap sebagai konspirasi politik dan hukuman yang dijatuhkan dirancang.

Anwar ke United Kingdom baru-baru ini berjumpa Al Gore dan Al Gore dikatakan menasihatkannya supaya berpindah ke luar negara. Beberapa hari yang lalu Anwar berada di Indonesia untuk menyatakan benda yang sama kepada kawan-kawannya.

Apakah ini berikutan kunjung­an Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Jakarta dan memberi penjelasan kepada Fahmi Idris, bekas menteri dalam Kabinet Indonesia mengenai siapa Anwar sebenarnya.

Setahun yang berlalu, Anwar tidak pernah berputus asa kerana kalau takdirnya Anwar dihukum penjara oleh Mahkamah Persekutuan, PKR tidak berada dalam suasana yang kondusif. Perebutan jawatan kepimpinan menimbulkan gelora baru yang tidak mudah dileraikan. Takdirnya Azmin Ali menang, Anwar tidak akan rasa selesa kerana regu Anwar ialah Saifuddin-Rafizi-Nurul Izzah yang kelihatan tidak dapat dukungan yang baik di kalangan ahli parti.

Pas dengan isu hudud bertekad untuk melaksanakannya di Kelantan ditentang oleh rakan politik­nya DAP dan PKR, meskipun Anwar suatu ketika dulu ialah pemimpin ABIM yang memperjuangkan Islam sebagai suatu cara hidup.

Daripada cita-cita negara Islam dan hudud ke arah Negara Berkebajikan dan terakam dalam Buku Jingga sebagai persetujuan bersama, tiba-tiba Pas tersedar dalam lena tahaluf siasinya yang sangat mengecewakan Anwar. Apakah sikap Pas boleh menyebabkan Pakatan Rakyat mengalami perpecahan kerana perbezaan antara perjuang­an Pas dengan yang lain adalah perbezaan fundamental?

UMNO yang dibenci oleh Anwar dan Pas perlu lebih bersedia menghadapi tahun-tahun mendatang menjelang PRU ke-14. Gambaran Pas semacam mahu bekerjasama dengan UMNO kerana isu hudud tidak dapat memberi jaminan bahawa Pas akan menyedari kesilapannya melakukan tahaluf siasi dengan yang lain.

UMNO harus lebih jelas memperjuangkan nasib umat Melayu terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Ternyata ianya sedang berjalan dengan baik.


UMNO harus memberikan fokus menyantuni golongan muda dan pelajar supaya proses pengkaderan ke arah orientasi Islam terjadi. Bahagian latihan kepimpinan UMNO harus diperkemaskan dengan kurikulum yang lebih berdaya maju supaya masa depan umat Melayu dan Islam terbela di tangan ke­pimpinan UMNO.

Sekiranya UMNO terus mendekati generasi muda dengan berkongsi maklumat secara telus tentang apa yang terjadi, penulis yakin generasi muda akan lebih memahami kerana retorik tanpa pelan tindakan memperkasa umat Melayu bakal ditelan zaman.

Tekad membantu umat Me­layu perlu dijadikan agenda utama agar meyakinkan generasi muda peri pentingnya UMNO kepada negara Malaysia.- Sumber

1 comments :

  1. Umno memang membantu tapi hanya kepada melayu yg dah senang.. Sayangnya

    ReplyDelete

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.