KALAU pada satu masa dulu warga Johor di daerah Gelang Patah  mengalami fenomena "bulan jatuh ke riba" apabila tanah mereka di situ  ditransformasi menjadi Bandar Nusajaya (kini menjadi sebahagian daripada  kawasan Iskandar Malaysia, "The Jewel of the South"), kini nampaknya  giliran warga Pengerang pula.
Mengikut maklumat daripada sumber rasmi, projek Hab Minyak dan Gas  (HMG) Pengerang yang bernilai RM60 bilion melibatkan 10 buah kampung -  dengan jumlah penduduknya lebih kurang 4,000 orang, daripada 1,268  keluarga.
Selain pampasan dalam bentuk wang (yang masih lagi belum diketahui  amaunnya), setiap keluarga yang terlibat dan terpaksa dipindahkan akan  diberi sebuah rumah kediaman dengan tanah seluas 0.8 hektar (hampir 2  ekar).
Kita difahamkan bahawa dalam fasa pertama pemindahan, 570 keluarga  daripada tiga buah kampung (iaitu Kampung Sungai Kapal, Kampung Teluk  Empang dan Kampung Langkah Baik) terpaksa berpindah bagi memberi laluan  kepada projek HMG ini yang dijangka akan mula beroperasi pada Oktober  2013.
Dalam fasa kedua nanti, operasi pemindahan akan melibatkan penduduk  tujuh kampung selebihnya, iaitu Kampung Sungai Buntu, Jawa, Lepau, Bukit  Buluh, Batu Mas, Sebong dan Penyerang. 
Kesemua penduduk kampung ini akan dipindahkan ke suatu lokasi  penempatan baru seluas 474.8 hektar terletak di Teluk Ramunia ke arah  sebelah timur dari pusat bandar Johor Bahru.
Ketika mengumumkan kerja pemindahan besar-besaran itu, Menteri Besar  Datuk Abdul Ghani Othman dipetik berkata bahawa kerajaan negeri "belum  dapat menetapkan nilai pampasan yang akan dibayar" kepada setiap  keluarga penduduk terjejas kerana "proses penilaian" pampasan tanah  masih lagi berjalan.
Ghani bagaimanapun "memberi jaminan" kepentingan penduduk akan  terpelihara, memandangkan kerajaan negeri ada "cukup pengalaman  menyelesaikan isu sama" membabitkan pengambilan lebih 12,000 hektar  tanah bagi projek Nusajaya pada masa dulu.
Ghani juga berjanji dalam tempoh 18 bulan mulai Mac depan ini, rumah  penduduk yang dibina di penempatan baru itu akan siap sedia untuk  dihuni.
Pendek kata sebelum matahari terbenam di akhir tahun 2013, setiap  seorang warga 10 kampung yang dipindahkan itu akan menikmati hidup di  rumah baru mereka dengan wang pampasan ratusan ribu ringgit (mungkin ada  yang mencecah sejuta ringgit) yang diterima daripada Kerajaan Negeri  Johor.
Ghani menyambung " Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan,  kerajaan bersetuju mengurniakan dua ekar tanah (0.8 hektar) kepada  setiap keluarga penduduk terbabit.
"Bagaimanapun, tanah seluas dua ekar itu bukan di kawasan penempatan  sama, sebaliknya kita akan usahakan pada satu kawasan lain untuk  diberikan secara kelompok."
Perhatikan perkataan "kita akan usahakan" itu. Akta Pengambilan Tanah  1960 (APT) mengandungi beberapa prinsip penting yang mesti dipatuhi.
Pertama, proses pengambilan tanah hendaklah disempurnakan oleh  Pentadbir Tanah dalam tempoh tiga tahun, mulai tarikh Notis dikeluarkan  kepada pemilik tanah di bawah seksyen 4 (Borang A).
Kedua, segala prosedur yang digariskan dalam APT hendaklah dipatuhi  sepenuhnya. Jika prosedur tidak dipatuhi, pengambilan tanah boleh  menjadi tidak sah dan batal. Pematuhan APT belum dikira sempurna kecuali  pampasan sepenuhnya telah dibayar kepada pemilik tanah.
Ketiga, sekiranya ada mana-mana pemilik tanah masih tidak puas hati  dengan amaun pampasan yang dianugerah oleh Pentadbir Tanah, pemilik  tanah masih boleh membuat rujukan kesnya itu ke Mahkamah Tinggi.
Apa yang boleh kita lihat dalam kes pengambilan tanah 10 kampung di  Pengerang ini adalah proses pengambilan tanah masih lagi di peringkat  permulaan. Kita kurang pasti sama ada siasatan (enquiry) di bawah seksyen 12 APT telah pun dijalankan oleh Pentadbir Tanah. 
Pemilik tanah perlu diingatkan bahawa mereka perlu mendapatkan  nasihat secukupnya daripada pihak yang ada kemahiran dalam hal penilaian  tanah. Di bawah APT, setiap pemilik yang kehilangan tanahnya berhak  mendapatkan pampasan atas "nilai pasaran" tanahnya.
Mengikut Prof. Madya Dr. Ismail Omar dari UTM Johor, pemilik tanah  disyorkan mendapatkan khidmat jurunilai yang bertauliah dan  berpengalaman untuk menasihati mereka dalam hal ini. "Nilai sentiment" tanah tidak diambil kira bagi menentukan pampasan.
Bukan semua orang yang tanahnya diambil di bawah APT berhak merujuk  kes pengambilan tanahnya ke Mahkamah Tinggi. Hanya pemilik tanah yang  termasuk dalam kategori yang disebutkan dalam seksyen 37 APT yang berhak  berbuat demikian. 
Dalam bahasa mudah, jika ada pemilik tanah yang terus mendiamkan  diri, menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri, tidak  membuat apa-apa tuntutan kepada Pentadbir Tanah dalam masa yang  ditentukan, sebaliknya rela dan reda menerima sebanyak mana wang yang  diberi kepadanya tanpa sebarang protes, dia sudah hilang hak merujuk  kesnya ke Mahkamah Tinggi.
Tanpa kita mengetahui jadual sebenar proses pemindahan penduduk 10  kampung di Pengerang ini ke Teluk Ramunia, sukar diramalkan apakah  mereka akan berpindah hanya setelah bayaran pampasan sepenuhnya telah  diterima atau pun sebaliknya. 
Walaupun APT membenarkan Pihak Berkuasa Negeri memasuki atau  menggunakan tanah yang diambil sebelum proses pengambilan sempurna  dilaksanakan dalam kes-kes tertentu (ada disebutkan dalam seksyen 19),  hendaklah Pihak Berkuasa Negeri Johor peka dan prihatin tentang semangat  sebenar APT, yang mencerminkan jaminan yang termaktub dalam Perkara 13  Perlembagaan Persekutuan. 
Amalan yang paling baik dan adil sekali adalah setiap pemilik tanah  yang akan hilang tanahnya akan dibayar pampasan sepenuhnya sebelum ia  dipindahkan ke tempat lain. Kebajikan pemilik tanah perlu diutamakan.
Oleh PROF. SALLEH BUANG
PENDAPAT MP:
MP percaya bahawa kerajaan BN akan terus membangunkan ekonomi negara dengan bertujuan untuk mensejahterakan rakyatnya. 
Rakyat di dahulukan,pencapaian diutamakan..  Syabas dan tahniah Barisan Nasional.
 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment