#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

2 August 2014

PEMANDU MOGOK : Tindakan yang tidak munasabah dan hanya menyusahkan rakyat - @syedhamidalbar @SPADChannel



Tindakan pemandu bas kilang mengadakan mogok di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar berikutan perlaksanaan kadar tol baharu pada pagi Jumaat lalu, dianggap tindakan yang tidak munasabah dan hanya menyusahkan rakyat.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata sebaliknya, operator bas kilang perlu berbincang dengan syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka sekiranya didapati kos meningkat.

"Mereka tinggalkan penumpang di Causeway, lepas tu (penumpang) terpaksa berjalan kaki ke Singapura. Ini adalah tindakan yang tidak adil dan tidak munasabah. Bukanlah cara yang baik untuk menyelesaikan masalah," kata beliau ketika dihubungi di Johor Bahru.


Syed Hamid berkata kos kenaikan bukan ditentukan oleh kerajaan semata-mata dan seharusnya pihak pengusaha perlu berbincang dengan syarikat berkenaan memandangkan mereka di bawah kontrak syarikat itu.

Mogok yang bermula 4 pagi itu melibatkan 200 pemandu bas kilang yang enggan memasuki Singapura dan menyebabkan laluan trafik sesak di CIQ selain ribuan pekerja terpaksa berjalan kaki menyeberang Tambak Johor sebelum menaiki bas penumpang di Woodlands untuk ke tempat kerja masing-masing.



Kesesakan itu menyebabkan beberapa bas perkhidmatan awam Singapura ke Johor Baharu ditangguhkan perkhidmatan pada 8.05 pagi dan hanya menyambung perkhidmatan pada 10.11 pagi, demikian menurut kenyataan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) melalui akaun rasmi Twitter.

Terdahulu, sebuah laporan berita menyebut protes pengusaha bas kilang tersebut dipercayai berpunca tidak puas hati dengan kenaikan kadar tol.

Kadar tol baharu arah masuk Malaysia, kenderaan kelas-kelas tersebut ialah masing-masing RM9.70 (kereta); RM14.70; RM19.70, RM4.80 (teksi) dan RM7.80 (bas) manakala kadar tol arah keluar pula RM6.80 (kereta); RM10.20; RM13.60; RM3.40 (teksi) dan RM5.50 (bas).

Singapura juga menaikkan kadar bayaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singapura dinaikkan daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari mulai Jumaat.

Pada masa sama, bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) berdaftar di negara luar pula dinaikkan daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 atau RM102.88.

Syed Hamid berkata berikutan tindakan pengusaha bas kilang itu, SPAD akan menyiasat sama ada mereka ini melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat.

"Ini adalah sesuatu yang dibuat untuk negara (pengumuman tol baharu) dan bukannya untuk kepentingan mana-mana pihak. Singapura juga melakukan perkara yang sama dengan menaikkan VEP.

"Pada saya, SPAD akan lihat sama ada tindakan operator bas kilang ini melanggar mana-mana peraturan. Pada saya, mereka ini tertakluk kepada undang-undang iaitu membawa penumpang, tidak boleh menyusahkan orang ramai atau mendatangkan kesulitan kepada mereka," kata beliau.



Presiden Gabungan Persatuan Teksi Johor, Raja Mohd Nor Mohamad berkata perkara tersebut tidak perlu diperbesar-besarkan kerana hasilnya akan diterima rakyat juga.

"Apa yang kerajaan buat hari ini, saya rasa yang terbaik pada kerajaan. Kerajaan takkan buat sewenang-wenangnya tanpa perundingan dan dihebahkan setelah peratusan bersetuju lebih daripada peratusan yang membangkang," katanya.


Bagaimanapun protes yang dilakukan oleh pemandu bas kilang itu, amat dikesali ramai.

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.