Ismail Bin Othman yang dikasihi,
Kita baru sahaja menempuh satu proses demokrasi yang terbesar dan paling mencabar di negara kita. Di setiap kampung, pekan dan bandar, setiap rakyat telah berdebat, berkempen dan mengundi untuk masa hadapan negara.
Saya amat berterima kasih dengan segala usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak yang selama ini telah berusaha gigih dan berdiri teguh di samping saya dan parti.
Dengan penuh tawaduk saya juga mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional untuk terus mentadbir negara.
Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam hampir sepanjang pengalaman kerjaya saya selama ini. Saya masih ingat lagi kali pertama saya dipilih menjadi Ahli Parlimen, kali pertama saya berucap di Parlimen dan kali pertama saya menjalankan tanggungjawab sebagai ketua jabatan kerajaan.
Sepanjang empat tahun yang lalu saya telah diberi peluang pula untuk berkhidmat untuk negara ini di peringkat tertinggi sebagai Perdana Menteri.
Namun pencapaian paling bererti tercatat pada awal pagi Isnin lalu adalah apabila saya diberi mandat oleh rakyat untuk menyempurnakan segala perancangan dan perlaksanaan yang telah saya mulakan sejak empat tahun yang lalu.
Saya merasakan pilihan raya kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah negara. Sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, begitu banyak pandangan dan hujah-hujah yang berbeza ditawarkan kepada rakyat.
Ada yang menyemarakkan semangat, tetapi ada juga yang menimbulkan kemarahan dan prasangka. Kini tempoh pilihan raya telahpun berakhir; tibalah masanya untuk kita kembali ke arah kedamaian dan keharmonian demi Malaysia yang dicintai.
Kerajaan Barisan Nasional akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menolak fahaman ekstrem dan perkauman yang tidak memanfaatkan negara kita. Selain itu, kami juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan amalan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Janji saya kepada anda hari ini adalah untuk menjadi Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia – tidak kira agama, bangsa, mahupun ideologi politik anda.
Cinta saya terhadap negara kita tidak mampu saya jelaskan dengan kata-kata, dan saya amat bangga serta bersyukur dengan pencapaian Malaysia sehingga ini.
Saya percaya, jika kita bekerjasama sebagai satu bangsa negara, insya-Allah kejayaan yang lebih besar lagi akan berada di dalam genggaman kita.
Najib Razak
Syabas Datok Seri Mohd Najib kerana istiqamah untuk memimpin Malaysia.
ReplyDeleteCuma satu yang saya minta. Tolong restore (KEMBALIKAN) semula Internal Security Act sebagai wadah atau senjata untuk keharmonian kaum di Malaysia.
Puak puak pelampau tegar semakin bermaharaja lela. Mereka semakin biadap. Tolong lindungi RAKYAT MAJORITI.