Parlimen pada duit syiling Malaysia |
Kelmarin, hanya seorang sahaja ahli Parlimen pembangkang yang hadir ke taklimat khas yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Tanpa mempedulikan kepentingan majlis berkenaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas membuat keputusan 'memboikotnya'.
Persoalannya, jika benar pakatan pembangkang berpegang kepada dakyah songsang mereka bahawa berlaku penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, kenapakah kerajaan PKR di Selangor, Kerajaan DAP di Pulau Pinang dan Kerajaan Pas di Kelantan mengangkat sumpah? Apa bezanya perjalanan proses pilihan raya di ketiga-tiga negeri berkenaan berbanding negeri-negeri lain termasuk di kerusi-kerusi Parlimen?
Apakah yang mengendalikan pilihan raya itu adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berlainan? Sudah pasti tidak!
Jelaslah apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang dalam soal pengundian bagi kerusi Parlimen bermotif politik semata-mata. Mereka tidak dapat menerima hakikat impian mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu gagal apabila hanya memperolehi 89 kerusi sahaja berbanding BN 133 kerusi.
Adalah sesuatu yang malang, apabila pembangkang masih belum mahu berhenti daripada berpolitik. Mereka tidak berusaha untuk menjadi pembangkang yang baik dan bertindak sebagai ejen check and balance kepada kerajaan, sebaliknya mahu merebut kuasa semata-mata.
Bagi pembangkang, kekalahan mereka di dalam pilihan raya bukan kerana keputusan yang dibuat oleh rakyat tetapi kononnya penipuan oleh BN, tetapi apa yang anehnya, mereka juga yang 'terhegeh-hegeh' paling awal menubuhkan kerajaan di negeri-negeri yang mereka menangi.
Biar pun apa juga hujah yang hendak dikeluarkan oleh pembangkang apa yang pasti sudah terbukti kini mereka cuba terus memancing emosi rakyat untuk bangkit menentang kerajaan. Mereka menolak sama sekali sebarang seruan agar mereka bermuhasabah kenapakah mereka masih gagal menumbangkan kerajaan BN.
Apa yang pembangkang tahu ialah kekalahan mereka di peringkat Parlimen kononnya disebabkan oleh penipuan BN. Kalau betullah BN hendak melakukan penipuan sudah pasti parti itu tidak akan membiarkan pembangkang kekal menguasai Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan serta memastikan BN terus gagal memerintah negara dengan majoriti dua pertiga.
Justeru dakwaan pembangkang dalam soal penipuan ini hanyalah fitnah dan tohmahan semata-mata. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa kerjasama carca marba mereka tidak memungkinkan rakyat menggadaikan masa depan negara kepada puak seumpama itu.
Sebab itulah kita menyaksikan bagaimana mereka tidak henti-henti mahu mengadakan perhimpunan haram termasuklah pada 22 Jun ini di Kuala Lumpur, biar pun tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berbuat demikian di Padang Merbok.
Pembangkang tahu mengikut Akta Perhimpunan Aman, kelulusan DBKL adalah diperlukan tetapi mereka tetap mahu meneruskan hasrat mereka. Alasan kononnya perhimpunan itu adalah satu perhimpunan aman adalah alasan semata-mata.
Mereka akan sengaja melanggar undang-undang supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas. Apabila berlaku pancutan air dan tembakan gas pemedih mata, maka tercapai impian mereka untuk merosakkan imej negara di mata dunia.
Kalau betullah pembangkang begitu yakin mereka ditipu, maka kemukakan petisyen di mahkamah, biar mahkamah tentukan, kenapa perlu menyeret rakyat terutamanya penyokong tegar mereka ke jalanan? Kalau yakin sangat ada bukti-bukti kukuh yang akan menyokong petisyen mereka maka serah sahaja kepada mahkamah.
Tetapi masalahnya, pembangkang tidak ada bukti kukuh, mereka hanya bijak menabur fitnah, melemparkan tuduhan dan mencipta tohmahan bagi memburuk-burukkan kerajaan BN namun tidak berani berhadapan dengan fakta sebenar.
Hakikatnya, penulis agak teruja untuk mengetahui sejauh manakah 'keberanian' pembangkang untuk memulau majlis angkat sumpah pada 24 Jun ini. Ia memandangkan di dalam pembangkang sendiri berbelah bahagi.
Difahamkan yang beria-ia benar hendak memulaukan majlis tersebut ialah PKR - sebuah parti yang pemimpin-pemimpinnya benar-benar kecewa kerana Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal ditabalkan menjadi Perdana Menteri.
Biar pun hanya mempunyai 28 kerusi di Parlimen namun PKR kini seolah-olah menjadi 'taiko' dalam pakatan pembangkang apabila cuba mempengaruhi DAP dan Pas supaya turut sama tidak mengangkat sumpah Ahli Parlimen.
Namun begitu kita jangan terkejut jika selepas ini PKR membuat keputusan untuk menghadiri majlis angkat sumpah tersebut.
Jika mereka berbuat demikian, macam-macam alasan yang akan mereka berikan, maklumlah pembangkang sememangnya dikenali sebagai puak yang bijak mencipta isu, pandai mencari alasan dan terkenal berhujah.
Dan dalam masa yang sama, kita perlu bersedia untuk melihat bagaimana Dewan Rakyat sekali lagi mungkin akan dicemari dengan telatah-telatah memualkan dan mengada-ngada terutamanya oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang yang kali pertama menduduki jawatan itu.
Kita tidak perlu terkejut kalau itu berlaku kerana mereka tidak menghadiri majlis taklimat yang bertujuan membolehkan Ahli Parlimen mengetahui maklumat terkini mengenai peraturan serta garis panduan baharu berhubung hal ehwal berkaitan perjalanan Parlimen.
Apa pun buat masa ini, marilah kita terus menyaksikan 'sarkas politik' yang terus dimainkan oleh pakatan pembangkang yang ternyata semakin 'meroyan' kerana gagal menawan Putrajaya dan pemimpin mereka gagal menjadi Perdana Menteri.
Kita percaya majoriti rakyat berpendapat masa untuk berpolitik sudah tamat, sekarang adalah masa bersama-sama membangunkan negara. Kalau pembangkang mahu berpolitik tunggulah lima tahun lagi apabila Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.
Tetapi kita yakin pakatan pembangkang yang ada di negara ini 'tidaklah sematang' itu. Mereka hanya mahu berpolitik sepanjang masa dengan matlamat untuk berebut kuasa.
Kalau benar mereka matang berpolitik sudah tentulah mereka akan menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka dan bukannya membuat tohmahan yang bukan-bukan apabila kalah tetapi dalam masa yang sama bersedia memegang kuasa di kawasan yang mereka kalah dalam satu pilihan raya yang sama.
Inilah kualiti pembangkang yang ada di negara kita, kehadiran mereka dilihat lebih banyak bermatlamat memburu kuasa dan bukannya bersedia menyumbang membangunkan negara selepas pilihan raya.
Namun terserahlah kepada pembangkang untuk terus berpolitik kerana berdasarkan apa yang kita saksikan, rakyat negara ini sudah tidak mahu lagi melayan 'kegilaan mereka'.
Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd
ARTIKAL TERDAHULU KLIK :
HOT VIDEO: Chegubard fitnah Datuk Zahid punyai kes cubaan membunuh...
HOT VIDEO: Chegubard fitnah Datuk Zahid punyai kes cubaan membunuh...
0 comments:
Post a Comment