#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

24 July 2014

Politik PKR yang semakin mengarut!



Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus memaparkan adegan politik yang memualkan, apabila membuat keputusan memilih Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Walaupun sebenarnya, banyak lagi isu lain yang perlu diuruskan oleh kepimpinan PKR khususnya berikutan pemilihan parti itu yang berlangsung dalam suasana penuh kekecohan dan kelam-kabut tetapi ia tidak mendapat perhatian.

Sebaliknya apa yang ada dalam benak fikiran pemimpin-pemimpin PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Tetapi setiap kali langkah politik dilakukan oleh Anwar, beliau pasti mengutamakan isterinya, Wan Azizah. Wanita itu diutamakan menjadi Presiden parti, perempuan itu dipilih untuk menjadi wakil rakyat di Kajang dan kini si isteri juga bakal dilantik pula sebagai Menteri Besar.

Oleh itu tidak payahlah pemimpin-pemimpin PKR bercakap soal individu lain kerana mereka tidak akan mampu mencabar 'kehebatan' Wan Azizah. Dalam keadaan apa sekali pun Anwar akan mengutamakan Wan Azizah.

Sama ada Azmin Ali atau sesiapa sahaja dalam PKR, mereka perlu akur kepada kehendak Anwar kerana selama ini pun, itulah yang dilakukan oleh mereka iaitu hanya mengikut sahaja kata Penasihat PKR tersebut.

Istilah kononnya pemilihan Wan Azizah dilakukan secara sepakat masih boleh dipersoalkan kerana beberapa jam kemudian pemimpin-pemimpin parti itu sendiri mempertikaikan keputusan tersebut.

Ia bermakna boleh dikatakan Wan Azizah bukanlah dipilih dengan restu seluruh kepimpinan PKR tetapi atas kehendak politik Anwar.

Persoalannya, hebat sangatkah Wan Azizah sehingga segala-galanya beliau diberi kepercayaan untuk menguruskannya?

Sebenarnya, Wan Azizah tidak sehebat mana, malah dalam kalangan pemimpin PKR sendiri, mereka menganggap kemampuan politik beliau lebih rendah berbanding ketua PKR di peringkat cabang.

Sebab itulah sepanjang menjadi Presiden parti itu, Wan Azizah tidak lebih sekadar 'penghias organisasi' sahaja, segala-galanya diurus dan dicaturkan oleh suaminya.

Wujud juga persoalan, kenapakah gerakan untuk menyingkirkan Abdul Khalid dilakukan secara drastik? Apa dosa besar Abdul Khalid di Selangor? Apakah kesalahan yang dilakukan oleh beliau sehinggakan PKR melihat hanya Wan Azizah boleh mengatasi segala masalah di negeri itu? Teruk sangatkah pemimpin-pemimpin lelaki PKR di negeri tersebut sehingga tidak ada seorang pun yang layak bergelar MB?

Apakah benar konflik politik beliau dengan Azmin memungkinkan semua ini berlaku sedangkan Azmin sendiri dilihat tidak berpuas hati apabila Wan Azizah dipilih?

Penulis tiada jawapannya tetapi apa yang pasti langkah politik Anwar dan PKR semakin mengarut.

Mereka membuat tindakan di Selangor seolah-olah PKR parti paling berkuasa di negeri tersebut, sedangkan semua orang tahu PKR diberi ihsan oleh Pas dan DAP untuk menduduki jawatan Menteri Besar, itu pun atas pertimbangan meneruskan kepimpinan Abdul Khalid.

Faktanya PKR hanya mempunyai 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berbanding Pas dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi.

Sepatutnya, sebelum membuat apa-apa keputusan khususnya bagi menggantikan Menteri Besar, PKR perlu merujuk kepada kedua-dua parti itu dan paling afdal menyerahkan kembali kerusi tersebut bagi membolehkan Pas dan DAP membuat keputusan.

Tetapi malangnya, keadaan itu tidak berlaku, PKR bertindak seolah-olah mereka 'tuan besar' di Selangor, pandangan Pas dan DAP tidak dirujuk terlebih dahulu kerana mereka yakin kedua-dua parti tersebut tidak akan membantah.

Sebelum ini, mereka juga mengatur Pilihan Raya Kecil DUN Kajang tanpa berunding dengan kedua-dua parti tersebut.

Namun Pas dan DAP tidak membantah kerana mungkin merasakan mereka tidak memiliki pemimpin yang boleh menandingi 'kehebatan' Anwar.

Apa pun, langkah terbaharu PKR berkaitan soal perebutan jawatan Menteri Besar Selangor membuktikan, tiada agenda lain dalam kamus politik parti itu selain mencari kuasa. PKR sama sekali tidak mempunyai agenda untuk kesejahteraan rakyat, sebaliknya lebih tertumpu kepada perebutan kuasa.

Sebab itulah, pemilihan parti itu menjadi kelam-kabut dan penuh dengan tindakan-tindakan samseng kerana masing-masing mahu mencari kuasa.

Justeru timbul persoalan, apakah kali ini Pas akan terus menjadi 'pak turut' terhadap percaturan politik PKR atau bertindak untuk menuntut kerusi Menteri Besar dikembalikan kepada parti itu dan DAP.

Penulis difahamkan, berikutan tindakan terbaharu PKR yang sewenang-wenangnya mencalonkan Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid sudah ada desakan kuat di peringkat akar umbi Pas yang mahu Pas menduduki kerusi Menteri Besar kalau benar Abdul Khalid tidak boleh dipertahankan lagi.

"Kenapa PKR dengan mudah membuat keputusan untuk menggantikan Abdul Khalid seolah-olah mereka mempunyai kerusi majoriti di DUN? Tindakan pemimpin PKR itu menunjukkan mereka tidak menghormati semangat pakatan,'' kata seorang pemimpin muda Pas Selangor ketika dihubungi.

Sememangnya, perebutan jawatan Menteri Besar Selangor antara pemimpin-pemimpin PKR kini menyeret Pas dan DAP. Selama ini pun PKR merupakan parti paling banyak mendatangkan masalah kepada pakatan pembangkang.

Atas sebab itulah, penyokong-penyokong Pas merasakan tindakan PKR di Selangor sudah melampau dan kepimpinan Pas tidak boleh lagi bertolak ansur.

"Kita bagi kerusi Menteri Besar kepada PKR kerana mahu menyambung kepimpinan Abdul Khalid tetapi sekarang beliau akan digugurkan, maka PKR tidak boleh buat keputusan sendiri.

"Kalau mereka boleh mencalonkan nama, maka saya berpendapat Pas juga perlu mengemukakan nama untuk dipertimbangkan, Pas tidak boleh selama-lamanya membiarkan PKR mencaturkan segala-galanya di Selangor,'' kata seorang lagi pemimpin Pas negeri itu kepada penulis.

Kepada rakyat Selangor khususnya, kini mereka boleh melihat sendiri wajah sebenar PKR yang selama ini sering digambarkan sebuah parti reformasi dan membela nasib rakyat.

Sudah jelas kini tiada lagi soal reformasi, tiada lagi soal demokrasi, sebaliknya apa yang dipertontonkan oleh pemimpin-pemimpin PKR ialah berebut kerusi, itulah yang berlaku di Selangor.

Semoga pemimpin-pemimpin pembangkang lain khususnya Pas akan mampu menyekat politik PKR yang semakin mengarut itu supaya mereka tidak dihukum rakyat apabila tiba masanya nanti. - Sumber.

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.