#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

24 February 2012

Tempias projek hab minyak dan gas di Pengerang

“Ia (Pengerang dan Teluk Ramunia sebagai hab minyak dan gas) akan menjadi pembangunan utama, memberi khidmat ke seluruh rantau Asia Pasifik,” kata YAB Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Asiaflex Products Sdn Bhd di Tanjung  Langsat, dekat Pasir Gudang, pada November lalu.
KALAU pada satu masa dulu warga Johor di daerah Gelang Patah mengalami fenomena "bulan jatuh ke riba" apabila tanah mereka di situ ditransformasi menjadi Bandar Nusajaya (kini menjadi sebahagian daripada kawasan Iskandar Malaysia, "The Jewel of the South"), kini nampaknya giliran warga Pengerang pula.

Mengikut maklumat daripada sumber rasmi, projek Hab Minyak dan Gas (HMG) Pengerang yang bernilai RM60 bilion melibatkan 10 buah kampung - dengan jumlah penduduknya lebih kurang 4,000 orang, daripada 1,268 keluarga.

Selain pampasan dalam bentuk wang (yang masih lagi belum diketahui amaunnya), setiap keluarga yang terlibat dan terpaksa dipindahkan akan diberi sebuah rumah kediaman dengan tanah seluas 0.8 hektar (hampir 2 ekar).

Kita difahamkan bahawa dalam fasa pertama pemindahan, 570 keluarga daripada tiga buah kampung (iaitu Kampung Sungai Kapal, Kampung Teluk Empang dan Kampung Langkah Baik) terpaksa berpindah bagi memberi laluan kepada projek HMG ini yang dijangka akan mula beroperasi pada Oktober 2013.

Dalam fasa kedua nanti, operasi pemindahan akan melibatkan penduduk tujuh kampung selebihnya, iaitu Kampung Sungai Buntu, Jawa, Lepau, Bukit Buluh, Batu Mas, Sebong dan Penyerang. 

Kesemua penduduk kampung ini akan dipindahkan ke suatu lokasi penempatan baru seluas 474.8 hektar terletak di Teluk Ramunia ke arah sebelah timur dari pusat bandar Johor Bahru.

Ketika mengumumkan kerja pemindahan besar-besaran itu, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dipetik berkata bahawa kerajaan negeri "belum dapat menetapkan nilai pampasan yang akan dibayar" kepada setiap keluarga penduduk terjejas kerana "proses penilaian" pampasan tanah masih lagi berjalan.

Ghani bagaimanapun "memberi jaminan" kepentingan penduduk akan terpelihara, memandangkan kerajaan negeri ada "cukup pengalaman menyelesaikan isu sama" membabitkan pengambilan lebih 12,000 hektar tanah bagi projek Nusajaya pada masa dulu.

Ghani juga berjanji dalam tempoh 18 bulan mulai Mac depan ini, rumah penduduk yang dibina di penempatan baru itu akan siap sedia untuk dihuni.

Pendek kata sebelum matahari terbenam di akhir tahun 2013, setiap seorang warga 10 kampung yang dipindahkan itu akan menikmati hidup di rumah baru mereka dengan wang pampasan ratusan ribu ringgit (mungkin ada yang mencecah sejuta ringgit) yang diterima daripada Kerajaan Negeri Johor.

Ghani menyambung " Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan, kerajaan bersetuju mengurniakan dua ekar tanah (0.8 hektar) kepada setiap keluarga penduduk terbabit.

"Bagaimanapun, tanah seluas dua ekar itu bukan di kawasan penempatan sama, sebaliknya kita akan usahakan pada satu kawasan lain untuk diberikan secara kelompok."

Perhatikan perkataan "kita akan usahakan" itu. Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT) mengandungi beberapa prinsip penting yang mesti dipatuhi.

Pertama, proses pengambilan tanah hendaklah disempurnakan oleh Pentadbir Tanah dalam tempoh tiga tahun, mulai tarikh Notis dikeluarkan kepada pemilik tanah di bawah seksyen 4 (Borang A).

Kedua, segala prosedur yang digariskan dalam APT hendaklah dipatuhi sepenuhnya. Jika prosedur tidak dipatuhi, pengambilan tanah boleh menjadi tidak sah dan batal. Pematuhan APT belum dikira sempurna kecuali pampasan sepenuhnya telah dibayar kepada pemilik tanah.

Ketiga, sekiranya ada mana-mana pemilik tanah masih tidak puas hati dengan amaun pampasan yang dianugerah oleh Pentadbir Tanah, pemilik tanah masih boleh membuat rujukan kesnya itu ke Mahkamah Tinggi.

Apa yang boleh kita lihat dalam kes pengambilan tanah 10 kampung di Pengerang ini adalah proses pengambilan tanah masih lagi di peringkat permulaan. Kita kurang pasti sama ada siasatan (enquiry) di bawah seksyen 12 APT telah pun dijalankan oleh Pentadbir Tanah. 

Pemilik tanah perlu diingatkan bahawa mereka perlu mendapatkan nasihat secukupnya daripada pihak yang ada kemahiran dalam hal penilaian tanah. Di bawah APT, setiap pemilik yang kehilangan tanahnya berhak mendapatkan pampasan atas "nilai pasaran" tanahnya.

Mengikut Prof. Madya Dr. Ismail Omar dari UTM Johor, pemilik tanah disyorkan mendapatkan khidmat jurunilai yang bertauliah dan berpengalaman untuk menasihati mereka dalam hal ini. "Nilai sentiment" tanah tidak diambil kira bagi menentukan pampasan.

Bukan semua orang yang tanahnya diambil di bawah APT berhak merujuk kes pengambilan tanahnya ke Mahkamah Tinggi. Hanya pemilik tanah yang termasuk dalam kategori yang disebutkan dalam seksyen 37 APT yang berhak berbuat demikian. 

Dalam bahasa mudah, jika ada pemilik tanah yang terus mendiamkan diri, menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri, tidak membuat apa-apa tuntutan kepada Pentadbir Tanah dalam masa yang ditentukan, sebaliknya rela dan reda menerima sebanyak mana wang yang diberi kepadanya tanpa sebarang protes, dia sudah hilang hak merujuk kesnya ke Mahkamah Tinggi.

Tanpa kita mengetahui jadual sebenar proses pemindahan penduduk 10 kampung di Pengerang ini ke Teluk Ramunia, sukar diramalkan apakah mereka akan berpindah hanya setelah bayaran pampasan sepenuhnya telah diterima atau pun sebaliknya. 

Walaupun APT membenarkan Pihak Berkuasa Negeri memasuki atau menggunakan tanah yang diambil sebelum proses pengambilan sempurna dilaksanakan dalam kes-kes tertentu (ada disebutkan dalam seksyen 19), hendaklah Pihak Berkuasa Negeri Johor peka dan prihatin tentang semangat sebenar APT, yang mencerminkan jaminan yang termaktub dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. 

Amalan yang paling baik dan adil sekali adalah setiap pemilik tanah yang akan hilang tanahnya akan dibayar pampasan sepenuhnya sebelum ia dipindahkan ke tempat lain. Kebajikan pemilik tanah perlu diutamakan.

Sumber:Utusan Online.
Oleh PROF. SALLEH BUANG

PENDAPAT MP:
MP percaya bahawa kerajaan BN akan terus membangunkan ekonomi negara dengan bertujuan untuk mensejahterakan rakyatnya. 
Rakyat di dahulukan,pencapaian diutamakan..  
Syabas dan tahniah Barisan Nasional.

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.