|
||||||||||||
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.
1.
Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat
menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga
sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.
2.
Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula
daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa
penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik
dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara
perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari
situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat
signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti
berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap
bersimpuh sambil berpeluk tubuh.
3.
Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat
terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa
ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional
melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan
kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini
tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan,
kestabilan dan keharmonian.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
4.
Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan
54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya,
bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada
pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham
mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah
dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis,
dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah
oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya,
mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah
lagi untuk berjaya?
5.
Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh
untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh
cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia
setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah
berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara
berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta
Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal
ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.
6.
Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang
bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih
kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan
mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan
yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa
pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit
daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.
7.
Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang
berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk
memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran
pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis
Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun
selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab
sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan
Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah
bagi membentuk kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
8.
Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau
apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang
telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan
komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum,
kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman,
Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi
menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip
keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
9.
Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah
terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang
sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi.
Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri
Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana
Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan
Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.
10.
Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses
pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung.
Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah
disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan
sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara
telah stabil seperti sediakala.
11.
Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana
Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah
diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan
memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan
hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa
yang perlu.
12.
Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika
itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang
tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan
suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka
faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal
tragedi serta kegoncangan yang berlaku.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
13.
Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa
untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama
ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara
mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad
kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita
dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara
ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang
mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.
14.
Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui
segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah
melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan
komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta
perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.
15.
Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat
pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang
dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan
kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta
keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan
kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan
keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar
berbanding empat atau lima dekad yang lalu.
16.
Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat
kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus
komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan,
kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan
periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
17.
Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi
tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi
darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap
berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti
negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan
aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik
demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih
diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah
universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan
kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan
membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar
ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya
ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia
menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan
baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
18.
Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan
luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat,
tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala,
bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan
pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan
kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak
berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan
satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.
19.
Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam
Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni;
pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan
maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak
membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran
itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa,
keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak
yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.
20.
Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti,
negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United
Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani
ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.
21.
Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi
sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan
kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang
matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat
untuk mencari keseimbangan yang betul ini.
22.
Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan
Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada
mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian.
Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk
menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh
sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan
panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
23.
Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa
mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009,
bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara
komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam
yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni
ISA) akan dimansuhkan terus.
24.
Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan
jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua
undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta
payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini
nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan
serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
25.
Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang
terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan
mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan
Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan
oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada
sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah
mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan
bawah kuasa Menteri.
26.
Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu
tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya
pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan
eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan
keganasan itu tadi.
27.
Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di
samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia
memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan
teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak
lagi relevan.
28.
Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad
1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip
pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran
lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27
Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10
Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip
menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran
berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak
di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
29.
Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di
persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan
nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air
yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang.
Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa
rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi
berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba
kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan
kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya,
ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan
dan kemuliaan.
30.
Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita
meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat
pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita
menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari
ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu
tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian
besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan
berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman
kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi
maklumat yang berkelas dunia?
31.
Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan
sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi
politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat
penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang
ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan
laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju
sebuah negara moden dan progresif.
32.
Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi
inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk
perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita
maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita
akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara
merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di
ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi
sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
33.
Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu
lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini
adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di
mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh
ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan
kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.
Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
Sumber: PMO
|
Irregular and peculiar transactions of Fashion Valet
-
The tip-off by Thick as a Brick (TAAB) on November 4th on the takeover of
Vivy and Fadza's company, 30 Maple Sdn Bhd towards the end of 2018 by the
Khaza...
1 month ago
0 comments:
Post a Comment