Itu setelah melalui proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di bawah kendalian Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Itu hal Comango yang mahu memperlekehkan Malaysia menerusi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan.
Dan pada masa sama, mencanangkan tohmahan Malaysia terlalu ekstrem dalam melaksanakan lunas Islam.
Dalam negara pun satu hal juga. Kita terpaksa berdepan pula dengan puak cauvinis seperti Dong Zong atau Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.
Terbaharu, puak ini bertelagah pula dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan pengambilalihan tanah milik kerajaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Tanah milik kerajaan seluas 0.13 hektar itu yang terletak dalam kawasan sekolah tersebut mahu dibangunkan untuk dibina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur.
Namun, ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sekolah itu sejak 1938.
Mungkin ada tolak ansur dalam isu yang dicetuskan oleh Dong Zong ini. Kemungkinan ada 'tolak ansur' dan 'kompromi' di sini. Kita tak tahu sekiranya isu (SJKC) Chin Woo ini berlaku dalam konteks Pulau Pinang sekarang. Siapa antara dua pihak yang akan tunduk?
Dalam konteks Comango, ramai bertanyakan kepada penulis, mengapa kita terlalu 'bagi muka' kepada sebilangan besar NGO yang berada dalam gabungan Comango ini. Kalau dilayari NGO yang menganggotainya, kita pasti terkejut kerana mereka ini turut menerima biaya dan dana daripada kerajaan - sama ada suatu ketika dulu atau pun sekarang.
Di sebalik itu, satu iktibar yang perlu dipelajari di sini. Peranan UMNO dan Pas, dua parti yang mewakili umat Melayu.
Jika Comango dan Dong Zong 'memekak', UMNO dan Pas mesti berani dan bersatu menempelak mereka. Jika pengguna Internet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan.
Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, UMNO dan Pas mesti berani ke depan dan bertindak bagi pihak orang Melayu dan Bumiputera. Jangan teragak-agak apabila berdepan dengan sebarang pencabulan hak asasi kaum.
Seperti kata pakar perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim: "Kita mesti hidupkan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang."
Kita jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas, dan PKR tak lebih 600,000 secara purata tapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut.
Bilangan sukarelawan parti, peguam dan profesional mereka lebih daripada yang dimiliki UMNO dan BN, walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan.
Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau calon boleh menang.
Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik.
Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekalipun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura 7 orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.
Comango dan Dong Zong serta lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai fitnah, ugutan dan tuduhan. Tindakan Dong Zong tak akan akur kepada dasar pelajaran negara serta Comango yang mahu menuntut yang bukan-bukan - adalah langkah yang mengkhianati negara.
Kita pasti tidak akan lupa bagaimana pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mendapat tentangan hebat daripada Dong Zong yang sehingga kini masih mempertikaikan usaha murni tersebut dengan dakwaan kononnya akan mengancam kewujudan sekolah aliran serta menghapuskan bahasa Mandarin.
Padahal, setelah dikaji dan diteliti cadangan tersebut, tidak ada sedikit pun cacat-cela yang kononnya memartabatkan bahasa tertentu akan menghakis bahasa-bahasa lain.
Malahan, PPPM bertujuan untuk pembangunan negara serta dalam masa sama mampu melahirkan pelajar bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi.
Merujuk khusus kepada tindak tanduk Comango, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad baru-baru ini menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan itu yang sering membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukannya sebagai agama Persekutuan.
Kata beliau, ini memandangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Comango bukan NGO berasaskan Islam selain tidak berdaftar secara rasmi.
Tuntutan yang dikemukakan Comango sebahagian besarnya menjurus kepada hak kebebasan orientasi seks lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
"Kami (Pembela) turut mempersoal kenyataan jurucakap Comango, Honey Tan Lay Eand dalam portal propembangkang, The Malaysian Insider pada 17 Oktober lalu yang menafikan tuntutan mereka mengancam Islam dan mempromosi seks songsang.
"Tapi sesiapapun yang merujuk kepada laporan itu akan mengakui beberapa kandungannya mengancam Islam dan umatnya di negara ini.
"Comango juga secara jelas mempersoal perkara berkaitan agama Islam termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur yang dijadikan isu hak asasi manusia," katanya.
Sebab itu UMNO dan orang Melayu mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasi kita - sama ada parti dan orang Melayu sendiri dalam bidang ilmu supaya setanding dengan kaum Cina.
Generasi baru tidak harus idealis tak tentu haluan. - Utusan
Artikal berkaitan : KLIK SINI
0 comments:
Post a Comment