#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

1 October 2013

PCA: Bukan ISA versi baru... KLIK baca ni!


SEPERTI telah dijangka sejak awal, sebaik sahaja Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 pada hari Rabu lalu di Dewan Rakyat, sudah kedengaran suara melabelnya sebagai "ISA versi baru".

Semasa membentangkan Rang Undang-Undang pindaan itu, Zahid menyatakan matlamat utamanya ialah meletakkan undang-undang pencegahan jenayah baharu di negara ini di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, dan dalam masa yang sama, meluaskan skopnya meliputi wilayah Sabah dan Sarawak.

Undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 berkuatkuasa di semenanjung sahaja.

Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen meluluskan undang-undang bagi maksud membanteras, antara lain, keganasan terancang terhadap orang awam atau apa jua aktiviti yang memudaratkan ketenteraman awam di negara ini. Sekiranya suatu undang-undang itu dibuat di bawah Perkara 149 ini, undang-undang itu adalah sah walaupun ia "tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13…"

Perlu disebut bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), yang telah dimansuhkan pada 2011 lalu, diluluskan oleh Parlimen di bawah Perkara 149.

Menafikan dakwaan bahawa RUUPJ 2013 itu adalah ISA versi baharu, Zahid menasihatkan pihak-pihak berkenaan agar bersabar dulu. Beliau meminta mereka menunggu esok (30 September 2013) bila pindaan itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

"Saya tidak mahu mendahului apa yang akan saya umumkan dalam Dewan. Jika mahu berhujah, berhujah dengan saya secara profesional di Dewan Rakyat, Isnin nanti", ujarnya lagi.

Zahid juga menegaskan bahawa RUUPJ ini melibatkan pindaan berbangkit kepada 10 undang-undang lain. Setakat yang diketahui pada masa ini, antara undang-undang itu termasuklah Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah. Pindaan Kanun Keseksaan bertujuan memperkenalkan hukuman yang lebih berat untuk beberapa jenayah tertentu, manakala pindaan Kanun Acara Jenayah adalah berhubung perkara isu bail (lepas dengan ikat jamin) bagi kes-kes tertentu dan perlindungan yang lebih baik untuk saksi.

Kuasa di tangan Lembaga, bukan Menteri

Matlamat utama RUUPJ 2013 ini ialah memberi kuasa kepada kerajaan menahan seorang itu tanpa perlu orang itu dituduh atau dibicarakan terlebih dahulu.

Dilihat dari sudut ini, pindaan terbaru ini tidak beza dengan kuasa memerintahkan tahanan di bawah dua undang-undang lama yang telahpun dimansuhkan, iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 [lazimnya dipanggil "EO"] dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 [ringkasnya dipanggil "ISA"].

Bezanya, di bawah ISA dulu, perintah tahanan dikeluarkan oleh Menteri. Di bawah pindaan terbaru ini, perintah tahanan itu dibuat oleh Lembaga Pencegahan Jenayah - seksyen 7B baharu. Tempoh tahanan yang diperintahkan oleh Lembaga ini adalah dua tahun (maksimum), tapi boleh dilanjutkan lagi selama dua tahun jika perlu untuk menjamin kepentingan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah - seksyen 7C baharu.

Di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959, tempoh tahanan tidak boleh melebihi 72 hari.

Anggota Lembaga ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Lembaga dipengerusikan sama ada oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi, dan selain itu Lembaga dianggotai oleh dua orang ahli lain.

Semakan kehakiman

Di bawah ISA dulu, walaupun tidak ada peruntukan khas dalam undang-undang itu mengenai semakan mahkamah, setiap orang yang ditahan di bawah ISA masih boleh (dengan khidmat peguamnya) memohon habeas corpus di Mahkamah Tinggi, dan dalam beberapa kes, permohonan habeas corpus itu telah diluluskan oleh Mahkamah.

Di bawah RUUPJ ini, pembacaan awal saya berasaskan laporan media menunjukkan satu situasi yang samar-samar atau kurang pasti. Mengikut satu laporan media cetak yang saya temui, seksyen 19A(2) membolehkan perintah tahanan Lembaga itu disemak semula oleh Mahkamah Tinggi.

Namun begitu, mengikut satu laporan lain, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (PKR) dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari (DAP), dipetik sebagai berkata bahawa seksyen 15A(1) tidak membenarkan semakan kehakiman dibuat ke atas keputusan Lembaga Pencegahan Jenayah, kecuali dalam perkara yang melibatkan prosedur.

Hendaknya bila RUUPJ ini dibentangkan di Dewan Rakyat buat pembacaan kali kedua esok, dan di hari-hari seterusnya bila ia dibahaskan oleh ahli Parlimen, ketidaktentuan atau kesamaran ini dapat diatasi sebaik mungkin.

Peranti

Satu ciri baru yang terdapat dalam RUUPJ 2013 ini adalah peruntukan mengenai penggunaan peranti pengawasan elektronik - seksyen 22. Perintah pemakaian peranti boleh dibuat ke atas seorang suspek itu semasa menunggu inkuiri.

Ciri keselamatan ini mula diperkenalkan kerajaan Malaysia tidak lama dulu bila Parlimen meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Security Offences (Special Measures) Act 2012 (SOSMA).

Penggunaan peranti adalah bukti bahawa teknologi moden boleh dimanfaatkan oleh pihak berkuasa memerangi anasir jenayah di negara ini.

Peranan Menteri dan Parlimen

Pemansuhan ISA bermakna Menteri Dalam Negeri tidak ada lagi punyai kuasa memerintahkan tahanan pra-bicara seperti dulu. Di bawah pindaan terbaru ini, kuasa itu diserahkan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ). Soalnya apakah Menteri tidak ada peranan lagi?

Di bawah seksyen 19E, Menteri diberi peranan mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen. Berbekalkan laporan penuh ini, ahli Parlimen diberi peluang mengkaji sama ada amalan sepanjang tahunan melibatkan pelaksanaan undang-undang yang baharu ini telah berjalan dengan baik ataupun sebaliknya.

Diharapkan kewujudan "Parliamentary oversight" ini dapat memastikan undang-undang baharu ini telah tidak disalahgunakan oleh sesiapapun.

Kritikan dan pujian

Antara pihak yang terawal menyelar pindaan terbaharu ini adalah Suaram (Suara Rakyat Malaysia).

Pengarahnya, Dr Kua Kia Soong dipetik sebagai berkata, tiada negara demokratik dan bertamadun dalam dunia yang menyelesaikan jenayah mereka dengan menggunakan kaedah penahanan tanpa bicara. 

Kua juga mengatakan pindaan ini merupakan satu "pengakuan terbesar kegagalan dan ketidakcekapan polis"
("NGO: Pindaan tanda polis gagal tangani jenayah," di portal http://www.malaysiakini.com/news/242184.)

Antara pihak yang terawal menyokong inisiatif kerajaan ini adalah Pakar Pencegahan Jenayah, Datuk Akhbar Satar, yang menyambut baik pindaan ini kerana ia membolehkan polis melaksanakan siasatan dengan lebih berkesan dan terperinci sekali (http://www.astroawani.com/videos/show/awani-7-45/rang-undang-undang-baru-dipuji-pakar-jenayah-16272).

Akhbar Satar juga berpendapat bahawa penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah, yang dipengerusikan oleh seorang yang berlatar belakang bidang kehakiman, akan "mampu memelihara aspek hak asasi manusia."

Bagi tokoh akademik UNIMAS, Dr. Jeneri Amir, pindaan undang-undang merupakan sesuatu yang amat diperlukan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, kita tunggu dan lihat perjalanan persidangan Dewan Rakyat esok bila Menteri berkenaan membentangkan bacaan kali kedua RUUPJ 2013 ini.

ARTIKAL TERDAHULU :
http://maelpengerang.blogspot.com/2013/10/pca-pembangkang-lebih-mahu-bermain.html

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.