Jawatan Naib Presiden UMNO kekal dalam genggaman penyandangnya.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjaya mengekalkan jawatan masing-masing bagi penggal kedua.
Keputusan pemilihan kali ini menjadi gambaran sebenar pilihan pimpinan yang dimahukan oleh akar umbi.
Bagi jawatan Majlis Tertinggi UMNO, selain berlatar belakang memegang jawatan dalam Kabinet, kerajaan negeri dan pernah memegang jawatan utama dalam UMNO Pusat atau sayapnya, faktor wakil negeri juga diambil kira.
Nampaknya daripada 25 MT UMNO yang dipilih oleh 146,000 perwakilan, Perlis mendapat seorang MT, Kedah (3), Pulau Pinang (1), Perak (2), Selangor (1), Negeri Sembilan (2), Melaka (1), Johor (5), Pahang (2), Terengganu (2), Kelantan (2) dan Sabah (3).
Lazimnya negeri yang tiada wakilnya terpilih, akan mendapat peluang melalui kuota kerusi tambahan oleh Presiden UMNO. Daripada kuota tambahan itu pula, mungkin separuh untuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang tidak bertanding kali ini, jadi tinggal beberapa sahaja menunggu peluang untuk diisi dalam MT.
Berdasarkan pengumuman rasmi keputusan MT UMNO petang semalam, daripada 17 penyandang jawatan berjaya mempertahankannya. Ini termasuklah enam berjawatan menteri, dua menteri baharu, tiga timbalan menteri, dua Menteri Besar, lima MT lama. Anggota MT yang baharu ialah dua timbalan menteri dan lima calon baharu.
Tidak salah jika dikatakan perwakilan bahagian masih memberi kepercayaan kepada orang lama dalam saf MT UMNO. Barangkali juga, mereka yang masuk bertanding tidak ramai yang berwibawa jadi mereka sukar menandingi populariti penyandang.
Bukan suatu yang baharu apabila banyak pihak melihat kempen bergerak yang dijalankan tidak memberi peluang sama rata kepada calon baharu. Dengan kelebihan calon yang memimpin kementerian atau syarikat berkaitan kerajaan, maka dapatlah calon berkenaan menggunakannya untuk dimuatkan gerak kerja dan wajah mereka di dalam media. Calon lain terpaksa berdepan larangan itu dan ini kerana takut menyalahi tata etika pemilihan.
Apa pun, bukan lagi 2,500 orang tetapi 146,500 perwakilan telah memilih anggota MT UMNO. Pemimpin yang itu juga yang dipilih maka suka atau tidak, semua 3.4 ahli UMNO kena terima.
Pedulikan orang luar UMNO mahu kata apa! Ini parti UMNO, itulah cara mereka pilih pemimpin. Namun, ada yang cemburu menganggap - tidak ada guna juga jika menang dalam pemilihan UMNO tetapi tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Tetapi jika dinilai anggota MT sekarang, mereka adalah pemimpin yang menang PRU-13. Memang sukar memenuhi tuntutan suara rakyat. Sebab itu ada segelintir rakyat yang melihat pemilihan kali ini tidak menunjukkan UMNO bersedia untuk berubah. Berdasarkan keputusan Naib Presiden termasuk Ketua Pemuda dan Ketua Wanita UMNO seolah-olah parti itu tidak bertindak balas terhadap kehendak semasa.
Hakikatnya 25 Ahli MT yang terpilih Sabtu lalu sudah dinilai oleh para perwakilan berdasarkan kemampuan masing-masing untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam memperjuangkan agenda agama, bangsa dan tanah air.
Kepada mereka diletakkan harapan untuk membuktikan kewibawaan mereka menjayakan agenda transformasi negara. Tunjukkan bahawa mereka sedia membantu Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dalam menggerakkan jentera politik UMNO yang masih gagal mendapat majoriti 2/3 di Parlimen sejak 2008.
Kita berharap mereka tahu apa yang patut dilakukan dalam kira-kira empat tahun akan datang ini.
0 comments:
Post a Comment