Masih ramai yang tertanya-tanya, apa muslihat Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang mengumumkan akan membawa bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhammad Taib ke dalam pentadbiran Selangor.
Dia yang berucap di Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras, di Kajang baru-baru ini, mengatakan Muhammad yang juga dikenali sebagai Mat Tyson itu mempunyai kepakaran dalam program desa dan ia amat diperlukan dalam pentadbiran Selangor.
Mat Tyson ketika diminta mengulas pelawaan tersebut mengatakan dia sedia membantu sekiranya Anwar memerlukan khidmatnya. Menjelang pilihanraya umum yang lalu, dia juga pernah mengumumkan hasratnya untuk menyertai Pas
“Politik itu adalah the ‘art of possible’. Tiada apa yang mustahil dalam politik,” katanya.
Muhammad adalah menteri besar Selangor antara 1986 hingga 1997 sebelum digantikan dengan Tan Sri Abu Hassan Omar. Dia melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor pada 1998 setelah Mahkamah Majistret Brisbane memutuskannya bersalah membawa wang tunai berjumlah RM2.4 juta ke Australia.
Ia sekali gus menimbulkan persepsi di kalangan pemerhati politik yang merasakan ia sebagai satu muslihat Anwar untuk memujuk para penyokong, ahli dan pimpinan Pas yang sebelum ini membantah keras sebarang cadangan untuk menukar kepimpinan Selangor.
Umum mengetahui antara sebab utama berlakunya pilihanraya kecil Kajang adalah bertujuan untuk membolehkan Anwar bertanding sekali gus membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid Ibrahim.
Ia ekoran dari masalah dalaman dan perebutan kuasa antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang saling menyerang antara satu sama lain. Atas alasan itu, PKR mendakwa Anwar diperlukan untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
Persoalannya, sekiranya benar Mat Tyson diperlukan atas kepakarannya, mengapakah perkara itu tidak diumumkan oleh Khalid?
Sedangkan sebagai Menteri Besar Selangor yang masih menyandang jawatan tersebut, sudah pasti Khalid mempunyai ‘locus standi’ untuk menjemput Mat Tyson berbanding Anwar.
Atau sememangnya Mat Tyson sebenarnya diperlukan untuk memujuk pimpinan Pas agar menerima Anwar sebagai Menteri Besar yang baru. Atau Anwar sebenarnya mengharapkan sokongan dan pengaruh istana Mat Tyson yang pernah menjadi ipar kepada Sultan Selangor.
Ini kerana walau apa pun strategi yang digunakan oleh Anwar, ia tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya tidak mendapat perkenan dari Sultan Selangor.
Ini kerana keputusan terakhir untuk melantik menteri besar yang baru terletak atas budi bicara Sultan Selangor, sekiranya Tuanku tidak memperkenankan perlantikan Anwar nanti, semua kemelut di dalam ‘Gerak Kajang’ ini merupakan satu kerja yang sia-sia.
0 comments:
Post a Comment