#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

5 February 2015

YPPM Memenuhi Aspirasi Warga Pondok


Bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia pada hujung tahun 2014 amat dahsyat kesannya kepada mangsa yang terbabit. Justeru, kerja-kerja bantuan pasca banjir masih amat diperlukan bagi memastikan semua operasi atau urusan mangsa terlibat dapat kembali normal.
Keadaan yang serupa turut dilalui oleh Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YYPM) yang akan menjalankan misi bantuan ke beberapa pondok yang terjejas teruk akibat banjir sekitar Temerloh, Pahang.

Menurut kenyataan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia DISINI. Pelbagai bentuk rancangan telah pun dibentuk. Misi pertama menjadi tumpuan kumpulan YPPM iaitu ke Madrasah An-Najjah atau Pondok Bukit Keledang di Bera dan Madrasah Raudhah Al-Muhubbin atau Pondok Pak Kob, di Seberang Chenor.

Kedua-dua pondok ini ditenggelami air ketika banjir melanda pantai timur beberapa minggu lalu, dan tidak boleh berfungsi sehingga memaksa lebih 300 pelajar pondok dan guru menghentikan semua aktiviti.

Atas dasar keprihatinan dan kewajipan membantu mangsa bencana, YPPM dengan kerjasama beberapa pihak lain, termasuk Yayasan Salam, Kolej Vokasional Auto Prima (Shah Alam) dan sebuah masjid di Kuala Lumpur, telah menghantar beberapa sukarelawan untuk meninjau keadaan di Pahang dan Kelantan pada Januari lalu, bagi mengenal pasti dan melihat sendiri pondok yang terjejas teruk. Tersenarai dalam laporan lapangan itu adalah 32 buah pondok.

Namun, YPPM tidak berupaya, baik dari segi kewangan mahupun tenaga sukarelawan, untuk membantu kesemua pondok yang terjejas teruk akibat banjir luar biasa yang melanda negeri-negeri pantai timur.

Selepas dua kali perbincangan berkaitan dana dan isu logistik, YPPM dan pasukan sukarelawan bersetuju menghantar bantuan dalam bentuk barangan keperluan bagi kegunaan warga pondok seperti kitab, buku tulis, dapur gas, sistem PA, peti ais, khemah, atap zink, tilam, bantal, selimut dan kain pelekat kepada pelajar dan penghuni pondok berkenaan.

"Kita mengharapkan bantuan ini dapat pulihkan pondok-pondok terbabit untuk berfungsi seperti sediakala dan difahamkan, pihak GiatMara telah membantu pondok-pondok tersebut memperbaiki pendawaian yang rosak," kata Dr. Mashitah.

"Saya turut merayu kepada dermawan, baik syarikat, organisasi atau individu, untuk sama-sama menghulurkan bantuan bagi membolehkan pengagihan kepada lebih banyak pondok yang terbabit. Dalam keadaan sebegini, elok kita ingat sejenak sumbangan sekolah pondok kepada pendidikan Islam di negara kita dan membina kekuatan ummah, terutama dalam mempertahan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah" tambah beliau.

Peranan ulama pondok dalam memperjuang kemerdekaan negara, membina generasi al-Quran serta melahirkan para hufaz dan pemimpin sangatlah besar dan tinggi nilainya.

Justeru, dalam keadaan mereka memerlukan, bantulah mereka dengan ikhlas dan amat dialu-alukan. Sebarang sumbangan dan derma, bolehlah disalurkan melalui YPPM dengan cara menghubungi talian 03-22016711 atau layari laman web Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di alamat www.yppm.org.my ataupun terus ke www.facebook.com/YayasanPembangunanPondokMalaysia laman Facebook YPPM.

Kata Dr.Mashitah lagi, musibah banjir yang melanda baru-baru ini, telah mencetus fikiran untuk warga YPPM melihat lebih terkedepan khususnya meningkat keupayaan dan keberkesanan YPPM sendiri, menjadi lebih self-sufficient, lebih mampu melaksana tanggungjawab dan memenuhi aspirasi warga pondok.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa pada mesyuarat Lembaga Pengarah YPPM kelmarin, pihak YPPM telah sebulat suara bersetuju untuk meneroka penubuhan sebuah koperasi yang terbuka kepada semua pondok di Malaysia. Lembaga Pengarah YPPM akan mengkaji cadangan ini secara mendalam, serta mendapatkan nasihat dan pandangan kementerian berkaitan.

Dengan penubuhan koperasi ini nanti, sudah tentu membolehkan YPPM membabitkan diri dalam sektor komersil bagi kepentingan ahli koperasi. Jika ada keuntungan daripada penyertaan dalam bidang keusahawanan dan pelaburan, ia boleh disalurkan kepada semua ahli dalam bentuk dividen.

Selain itu, YPPM juga akan memulakan kaji selidik ke atas pondok seluruh negara tidak lama lagi bagi memenuhi visi YPPM, kata Dr. Mashitah yang juga Pengerusi YPPM.

Dua visi ataupun matlamat yang menjadi keutamaan bagi YPPM iaitu:

1. Mengemas kini direktori pondok yang dihasilkan pada julung kalinya tiga tahun lalu.

2. Memenuhi keperluan satu laporan lengkap mengenai status pondok di Malaysia untuk diserahkan kepada Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab menyalurkan dana RM25 juta kepada sekolah-sekolah pondok seperti yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Penaung YPPM Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sewaktu membentang Belanjawan 2015 Oktober lalu.

Walau bagaimana pun, laporan ini dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan, dan boleh dianggap kajian paling komprehensif yang pernah dijalankan ke atas sekolah pondok dan sistem pengajiannya di Malaysia, tegas beliau.

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.