Bab kata orang, mudah terpesona melihat kulit buku dan tajuknya hingga terlupa peri penting isinya perlu dihalusi dahulu sebelum mengotakan niat untuk membeli buku tersebut.
Marina Mahathir adalah antara peserta BERSIH 3.0 yang tergolong dalam kumpulan tersebut, terpengaruh dengan tuntutan yang dilihat bagus dan menarik kemudiannya terjebak untuk mempertahankan segala tindak tanduk BERSIH atas nama kebebasan bersuara, keadilan dan hak asasi manusia.
Menulis dalam blognya pada 08 Mei, Marina meluahkan pendapatnya mempertahankan BERSIH 3.0 sebagai agenda rakyat yang langsung tiada kaitan dengan kebangkitan di negara Arab khususnya yang berlaku di Mesir, Yemen, Libya dan Syria.
Katanya lagi, tiada alasan untuk dibimbangi tentang kemungkinan BERSIH 3.0 bertukar menjadi kacau bilau seperti yang terjadi di negara-negara Arab tersebut.
Itu kata Marina yang kita ketahui kerap bergiat aktif bersama pelbagai NGO, berfikiran sedikit liberal & terbuka tapi naif soal sepak teranjang dunia politik sekalipun ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohammad adalah tokoh politik terkenal tanahair.
Sebenarnya ternampak jelas, Marina samaada lurus bendul atau sebenarnya sudah terjerat dalam mainan politik pembangkang hingga terpaksa mencari dalil dan hujah untuk menghalalkan penglibatan dalam kerusuhan yang tercetus gara-gara BERSIH 3.0
Hakikatnya apa yang berlaku 28 April lalu hanyalah lanjutan kepada cubaan pembangkang yang mahu meng'tahrir'kan Dataran Merdeka sebagaimana diterjemahkan melalui perarakan anti-PTPTN yang diadakan pada 14 April 2012 yang kemudian meleret menjadi perkhemahan siang malam di sana selama beberapa hari.
BERSIH 3.0 temanya 'Duduk dan Bantah' manakala penegasan oleh Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk S. Ambiga sehari sebelum perhimpunan berlangsung ialah mereka hanya akan duduk dan bantah di kawasan yang sehampir mungkin dengan Dataran Merdeka tanpa melanggar atau mengalih pengadang jalan yang didirikan oleh pihak polis dan DBKL.
Jika BERSIH 3.0 berniat tulus ikhlas untuk mengadakan perhimpunan aman tentu saja sebaik arahan oleh Ambiga yang mahu peserta bersurai maka semuanya berakhir begitu saja tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Namun apa yang berlaku ialah perhimpunan diteruskan dan berlakunya serbuan peserta ke arah Dataran Merdeka selepas Anwar dan Azmin berbalas isyarat yang kemudiannya diikuti dengan tindakbalas pihak berkuasa untuk menyuraikan serbuan tersebut.
Malah ucapan Azmin Ali kira-kira sejam sebelum keributan berlaku jelas membayangkan hasrat pembangkang yang mahu mengepung dan menawan Dataran Merdeka - satu bukti nyata mereka mahu menjadikan Dataran Merdeka sama seperti yang berlaku di Dataran Tahrir.
Begitu juga ucapan Anwar Ibrahim sebelum masuknya waktu solat Zohor yang mahu peserta BERSIH 3.0 menuju masuk ke Dataran Merdeka - bukankah itu terbukti membelakangi arahan mahkamah yang memerintahkan supaya tiada perhimpunan di adakan di kawasan tersebut.
Arahan mahkamah akhirnya dicabuli, undang-undang dilanggar dan harta benda awam dijahanamkan dan anggota polis dicederakan - realitinya perhimpunan aman yang kononnya memperjuangkan ketelusan dan keadilan sebagaimana digambarkan selama ini oleh BERSIH dan pembangkang, sebetulnya hanyalah tong kosong yang dipukul bertalu-talu bunyi kuat tapi isinya zero tiada manfaat.
0 comments:
Post a Comment