Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menyelamatkan keadaan bagi mengelakkan Pengerusi parti itu terus diserang oleh rakan sekutu mereka ternyata GAGAL. Kit Siang sebelum ini tampil membela Karpal Singh yang disifatkannya menjadi mangsa keadaan ekoran permainan media.
Ia ekoran dari kenyataan Karpal sebelum ini yang dilihat telah menyinggung perasaan rakan sekutu mereka Pas. Ahli parlimen Bukit Gelugor itu ketika sidang media yang diadakan di Pulau Pinang pada 5 November yang lalu, dilaporkan telah menggesa agar semua parti politik dan pertubuhan yang berasaskan kepada satu kaum DIBATALKAN pendaftarannya.
Menurutnya ia supaya sesuai untuk disertai rakyat tanpa fahaman dan latar belakang keturunan. Karpal turut mengatakan parti politik dan pertubuhan profesional yang berasaskan kaum dan agama sepatutnya tidak dibenarkan kerana ia merupakan sesuatu yang serius.
Menyedari ketelanjuran tersebut, Kit Siang yang mewakili Karpal dengan pantas menarik ‘hand break’ dengan menyalahkan media kononnya itu bukan maksud sebenar. Ia hanya permainan media yang dikatakan telah memutarbelitkan kenyataan tersebut.
Menurut Kit Siang, setelah dia menghubungi Karpal sendiri bagi mendapatkan penjelasan, peguam tersebut jelas menafikan kenyataan tersebut. Sambil mengatakan ia hanya merujuk kepada Persatuan Peguam Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) kerana mengkritik Majlis Peguam atas sokongan yang diberikan badan tersebut terhadap akhbar mingguan Katolik, The Herald.
Namun mungkin merasakan ada sesuatu yang tidak kena, Dewan Pemuda Pas segera menjalankan ‘siasatan’ bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kenyataan tersebut. Setelah meneliti rakaman sidang media yang berdurasi 24 minit 47 saat itu, mereka akhirnya membuat kesimpulan Karpal secara jelas berbohong kerana cuba menafikan keterlanjuran itu.
Ini kerana, menurut mereka, rakaman video tersebut jelas membuktikan Karpal memang telah membuat desakan tersebut.
“Pada minit keenam rakaman itu, Karpal didengar berkata ‘bergerak atas nama agama, perkauman adalah satu perkara yang amat berbahaya dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti ini dan sudah tiba masanya untuk parti perkauman dibatalkan pendaftarannya, malangnya ini termasuk PAS,” kata wakil dewan Pemuda Pas itu.
Malah ketika ditanya oleh seorang wartawan, Karpal sekali lagi mengulangi desakannya itu dengan mengatakan perkara itu mungkin akan membuatkan rakan sekutu mereka di dalam pakatan pembangkang kurang senang.
Ia secara tidak langsung membuktikan, bahawa kenyataan tersebut turut merujuk kepada parti Pas yang jelas menggunakan agama bagi memenuhi cita-cita politik mereka.
Paling menarik, hanya kerana ingin membela Karpal, Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar sebelum ini telah memuji tindakan pemimpin DAP itu kerana berani tampil untuk menjelaskan perkara yang sebenar.
"Beliau tidak menyeru agar Pas dibubarkan pendaftaran. Perkara ini telah diputarbelitkan oleh media. Kita berterima kasih kepada Karpal," kata Mahfuz sebelum ini.
Selain Dewan Pemuda, ramai di kalangan pemimpin parti itu yang terdiri daripada kumpulan ulama bingkas bangun mempertahankan Pas dari kecaman Karpal itu. Antaranya Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Terbaru, Dewan Muslimah Pas turut senada dengan kumpulan Ulama yang melahirkan rasa kesal sambil menegaskan, agarMajlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat segera mengambil tindakan tegas terhadap pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin veteran DAP itu.
Mereka antara lainnya mendesak agar Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat segera bersidang bagi menangani masalah ini sebelum Dewan Pemuda dan Muslimah mengambil tindakan.
ARTIKAL BERKAITAN KLIK SINI
0 comments:
Post a Comment