#Bajet2018: Ucapan Penuh YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak

18 July 2011

Jangan biar Ambiga terlepas

Walaupun perhimpunan haram Bersih yang diadakan pada 9 Julai lalu berjaya 'dipatahkan' oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun kesannya masih terasa sehingga ke hari ini.


Imej negara bukan sahaja terjejas di mata dunia, malah kita mengalami kerugian ratusan juta ringgit dalam industri pelancongan dan perniagaan.


Itu belum lagi termasuk bagaimana insan-insan marhaen seperti pemandu teksi, peniaga kecil dan orang awam turut terkena tempiasnya,.


Dengan segala keburukan, kesusahan dan kesengsaraan ini, wajarkah dalang di sebalik penganjuran itu dilepaskan begitu sahaja?


Dalam soal ini, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S.Ambiga tidak harus cuci tangan dengan apa yang berlaku pada tarikh berkenaan.


Kedegilan beliau yang disanjung oleh pembangkang sebagai 'wanita besi' ini untuk terus mengadakan perhimpunan haram tersebut biar pun telah dilarang berkali-kali oleh pihak berkuasa seharusnya tidak harus dibiarkan.


Ambiga perlu bertanggungjawab ke atas segala kekecohan yang terjadi pada hari tersebut termasuklah bagaimana hampir 10,000 yang hadir telah mencetuskan huru-hara di ibu negara.


Malahan kedegilan Ambiga juga yang menyebabkan pemimpin dan ahli pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas berani melanggar undang-undang dengan menyertai perhimpunan haram berkenaan.


Justeru kita ingin bertanya, kenapakah sampai sekarang Ambiga masih lagi bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan undang- undang?


Apa istimewanya Ambiga sehingga beliau dilihat seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila berdegil mahu mengadakan perhimpunan haram itu? dan Kenapakah Ambiga biar pun seorang peguam begitu berani melanggar perintah mahkamah yang melarang beliau berada di kawasan tertentu di Kuala Lumpur pada hari tersebut?


Kita juga ingin tahu kebenaran di sebalik dakwaan bahawa Ambiga turut menerima dana asing bagi menjayakan demonstrasi haram itu.


Jika mengikut laporan media terdapat banyak peruntukan undang-undang yang boleh mengheret Ambiga ke muka pengadilan. Malahan Ambiga juga sudah dipanggil oleh polis dan disiasat di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana cuba mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.


Kita memahami bahawa polis perlu teliti melakukan siasatan tetapi kita berharap ia tidak akan mengambil masa yang terlalu lama.


Ia memandangkan desakan agar Ambiga dikenakan tindakan sudah kuat berkumandang sehingga ada pihak yang menganggap bekas Presiden Majlis Peguam itu tidak harus diberi muka.

Apatah lagi selepas perhimpunan haram berkenaan, Ambiga tidak menunjukkan tanda keinsafan sebaliknya semakin angkuh dalam tindakannya.


Keangkuhan wanita yang mengguris perasaan umat Islam suatu ketika dulu apabila menyokong Suruhanjaya Antara Agama (IFC) terbukti apabila beliau mencadangkan kepada rakyat supaya memakai pakaian kuning pada setiap Sabtu sebagai tanda sokongan kepada Bersih.


Walaupun Ambiga mengetahui bahawa pemakaian baju berkenaan adalah bertentangan dengan undang-undang namun Ambiga tidak mempedulikannya. Mungkin beliau merasakan dengan sokongan yang diterima daripada pembangkang, pihak berkuasa tidak akan berani bertindak ke atasnya.


Seperti mana kata Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd.Hilmi Ismail, Ambiga sebenarnya mahu mencabar undang-undang.


''Beliau cuba menghasut rakyat dan ini tidak harus dibiarkan. Ambiga mahu melakukan provokasi terhadap kerajaan dengan harapan kerajaan mengenakan tindakan ke atasnya,'' kata beliau.


Sebab itulah penulis berpendapat, individu seperti Ambiga tidak boleh dibiarkan bebas begitu sahaja seolah-olah beliau tidak pernah melakukan kesalahan pada 9 Julai.


Jika sebelum ini pihak berkuasa memerangi habis-habisan pertubuhan haram Hindraf dan al-Arqam kenapa individu seperti Ambiga hendak dibiarkan?


Kita harus ingat bahawa Ambiga tidak ikhlas dalam menerajui Bersih bagi menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil. Ia terbukti apabila Ambiga menolak tawaran kerajaan supaya perhimpunan haram itu diadakan di luar Kuala Lumpur dan atas dasar tolak ansur, polis bersedia mengeluarkan permit segera.


Tetapi Ambiga menolak tawaran berkenaan sebaliknya berdegil untuk mengadakannya di Kuala Lumpur, malahan Ambiga yang mendakwa kononnya perhimpunan itu tidak mempunyai agenda politik, jelas bersekongkol dengan parti pembangkang.


Kesudahannya pada 9 Julai akibat kedegilan Ambiga, Kuala Lumpur menjadi huru-hara.

Semua itu berlaku kerana tindakan Ambiga mencabar undang-undang, justeru sikap keras kepalanya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.


Kita tidak mahu apa yang dilakukan oleh Ambiga dicontohi oleh pihak lain pula selepas ini sebab itu tindakan tegas perlu diambil ke atas beliau.


Ambiga perlu diberi pengajaran bahawa beliau tidak seharusnya hanya bijak belajar undang-undang tetapi perlu tahu memahami serta mematuhinya.


Kalau Ambiga seorang yang patuh sudah pasti beliau akan membatalkan perhimpunan tersebut tetapi Ambiga tidak berbuat demikian walaupun pihak polis memanggil beliau untuk berunding dan memberi amaran.


Pendekatan berhemah polis terhadap Ambiga ternyata tidak dihargai, sebaliknya sebaik sahaja selesai memberi keterangan kepada polis, Ambiga terus menyatakan dengan tegas beliau akan tetap mengadakan perhimpunan haram tersebut.


Tidakkah sikap biadab dan angkuh ini menunjukkan bahawa Ambiga cuba menghasut rakyat? Tidakkah ini melambangkan bahawa Ambiga cuba mencabar undang-undang? Oleh itu kenapa perlu Ambiga diberi muka lagi?


Atas sebab itulah kita berharap pihak berkuasa akan segera menyiapkan kertas siasatan dan memastikan Ambiga dihadapkan ke mahkamah.


Pihak berkuasa tidak perlu berasa tergugat dengan sokongan pembangkang atau pihak asing kepada Ambiga, ini kerana terdapat jutaan rakyat Malaysia yang menanti tindakan ke atas Ambiga.


Mereka mahu insan seperti Ambiga dikenakan tindakan setegas-tegasnya supaya beliau belajar menghormati undang-undang dan sikap toleransi pihak berkuasa.


Mungkin Ambiga menganggap tindakan undang-undang akan membolehkan beliau 'menjaja' kononnya itu satu lagi bukti menunjukkan kezaliman kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pihak berkuasa.


Tetapi apakah tindakan Ambiga yang terus melakukan provokasi sehingga tercetusnya huru-hara pada 9 Julai lalu bukan satu kezaliman?


Ambiga tidak berhak bercakap soal undang-undang, apatah lagi hak asasi kerana beliau sendiri tidak tahu menghormati perkara tersebut. Segalanya terbukti 9 Julai lalu!

Sumber: Utusan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

SOUTHERN Blogger

MALAYA Blogger.